CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

01 July 2011

Ucaplah Alhamdulillah, Bukannya Susah :)

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt..



10 Sebab Kenapa Kita Patut Bersyukur :


1) Kita dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam

Lahir saja ke dunia, di telinga kita sudah dilaungkan azan. Di surat beranak pula sudah tertera nama kita berbin atau berbinti, yang melambangkan kita seorang yang beragama Islam. Sedangkan ada insan di dunia ini yang berbelas tahun atau mungkin berpuluh tahun mencari pedoman dan pegangan hidup, barulah mereka bergelar Islam. Malah ada diantara mereka yang terpaksa menempuhi pelbagai rintangan setelah bergelar saudara baru. Ada juga yang mendapat hidayah dan bergelar Islam hanya pada penghujung hayatnya. Seorang Islam telahpun dijanjikan Allah untuk mendapat tempat di syurga kelak, samada cepat atau lambat sahaja. Jadi kenapa masih ada diantara kita yang bergelar Islam sejak lahir berkeras hati mahu murtad dan menukar agama?


2) Kita lahir ke dunia disambut oleh ibu dan ayah

Setelah dilahirkan, kita diberikan kepada ibu untuk dipeluk. Ibu menyambut kita dengan deraian air mata tanda gembira yang amat sangat. Ayah pula mendukung kita dengan penuh kasih sayang, sebelum dialunkan azan di telinga kita. Ibu mengambil kita kembali untuk disusukan. Namun lihatlah, betapa ramai bayi zaman sekarang yang terus dibuang setelah dilahirkan. Terus disisih oleh ibu bapa dengan dihantar ke rumah kebajikan atau rumah anak2 yatim. Malah ada yang dibunuh oleh tangan ibu sendiri yang mengandungkan mereka selama 9 bulan (atau mungkin kurang) setelah dilahirkan. Bukankah kita bertuah tidak dilahirkan oleh ibu seperti ini? Tapi kenapa ramai anak2 muda zaman kini semakin tegar mengingkari dan kurang ajar terhadap ibu dan bapa masing2?


3) Kita dilahirkan sempurna anggota badan dan fikiran

Kita diahirkan cukup anggota fizikal. Dua mata, dua telinga, satu mulut, satu hidung, dua tangan dan dua kaki. Malah fikiran kita juga normal, kita mampu belajar membaca dan menulis setelah kita semakin membesar. Tapi cuba renungkan, ramai lagi bayi yang dilahirkan tidak sebertuah kita. Ada yang lahir tanpa rupa, ada yang lahir dengan kekurangan tangan atau kaki, malah ada yang dilahirkan dengan anggota badan ditempat yang salah, seperti jantung di luar badan. Kita yang sempurna anggota badan, dan mempunyai akal fikiran yang normal, kenapa masih berani menggunakan anggota badan kita yang sementara itu untuk melakukan perkara2 yang dilarang oleh Allah tanpa sedikitpun rasa gusar?


4) Kita dilimpahi rezeki Allah yang tidak terhingga.

Setiap hari, sejak kita dilahirkan sehingga kini, kita tidak putus2 dikurniakan pelbagai rezeki oleh Allah. Kita mungkin tidak pernah kekurangan makanan atau air. Kita mungkin tidak pernah hidup merempat di jalanan tanpa tempat tinggal yang selesa seperti gelandangan2 yang ramai di luar sana. Malah kita punya wang yang mencukupi untuk membeli apa saja keperluan atau mungkin juga menuruti kehendak diri. Cuba sesekali kita menonton rancangan Bersamamu di TV3. Ada keluarga yang hidup serba kedaifan, tanpa tempat tinggal yang selesa, tanpa wang yang cukup untuk mendapatkan sesuap nasi pun. Tapi mengapa kita kadangkala terlalu kedekut untuk berkongsi rezeki tersebut dengan insan yang memerlukan? Sehingga pengemis2 dan peminta sedekah di jalanan dipandang sepi?


5) Kita dilimpahi cinta dan kasih sayang daripada ramai insan

Cuba kita kira satu persatu, berapa ramai insan yang menyayangi kita? Yang mengambil berat tentang kita, yang sudi membantu apabila kita memerlukan, yang sudi menemani kita apabila kita dilanda kesusahan atau kesedihan? Tak terbilang kan? Ibu bapa, adik beradik, saudara mara, sahabat handai, walaupun mungkin bukan semua, namun mereka masih lagi sudi melimpahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi buat kita. Malah bukan mereka sahaja, kita juga dilimpahi dengan kasih sayang Allah yang tidak henti2 menurunkan pelbagai rezeki dan nikmat kepada kita. Sedangkan di luar sana ada ramai kanak2 yang hidup sebatang kara, tanpa kasih sayang ibu dan bapa dan keluarga, yang hanya mampu menumpang kasih daripada insan yang sudi memberi. Namun kenapa masih ramai lagi yang mengabaikan kasih sayang yang diperoleh kemudian sibuk mengejar kasih sayang yang belum tentu akan diberikan kepada kita?


6) Kita diberikan pendidikan yang secukupnya

Sejak kita kecil, ibu bapa akan memastikan kita menerima pendidikan yang secukupnya. Mula2 kita dihantar ke tadika untuk belajar membaca, menulis dan meluaskan pergaulan. Bila dah pandai sedikit, kita naik ke sekolah rendah, seterusnya sekolah menengah, matrikulasi akhirnya ke universiti. Ibu bapa juga sanggup berhabis duit menghantar kita ke kelas tuisyen, kelas mengaji, kelas fardhu ain, kelas muzik, macam2 kelas lagi demi memastikan kita tidak ketinggalan untuk menceburi pelbagai ilmu yang ada. Ada insan2 yang kurang bernasib baik, terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga. Disebabkan tidak menerima pelajaran yang secukupnya, masa depan mereka kurang terjamin. Dengan pendidikan yang kita terima sejak kecil, pernahkah kita terfikir kenapa kadang2 kita bertindak lebih bodoh daripada mereka yang tak pernah terima apa2 pendidikan?


7) Kita dilahirkan di negara yang aman damai

Setelah dilahirkan sebagai seorang Islam, dalam keluarga yang bahagia, dilimpahi kasih sayang dan rezeki dari Allah, seharusnya kita bersyukur kerana dilahirkan disebuah negara yang aman dari sebarang peperangan, seperti negara2 Islam yang lain contohnya Afghanistan, Pakistan dan Palestin. Negara kita yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama, hidup dalam keadaan yang aman harmoni dan juga selamat daripada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi. Bayangkan kita hidup dalam keadaan ketakutan, dengan ramai pengebom berani mati di luar rumah, ataupun sentiasa risau akibat gempa bumi yang kerap menggegar, atau rumah yang sentiasa rosak akibat dilanda puting beliung atau ribut taufan. Berapa lama kita sanggup bertahan hidup dalam keadaan sedemikian rupa?


8) Kita dikurniakan kesihatan yang baik

Renungi diri anda. Rasa degup jantung anda. Dengar bunyi nafas anda sendiri. Gerakkan anggota tubuh badan anda. Bukankah kesemuanya Allah jadikan dalam keadaan yang baik tanpa sebarang masalah? Dan bayangkan jika nikmat diatas tadi direnggut Allah satu persatu. Denyutan jantung anda tidak stabil, disebabkan jantung anda berlubang. Anda tidak mampu bernafas dengan baik, saluran pernafasan anda sempit dan tersumbat. Anda tidak mampu menggerakkan anggota badan, disebabkan saraf anda lumpuh. Anda hanya mampu terbaring, kehidupan dan aktiviti anda terbatas. Malah menyusahkan orang ramai untuk menjaga anda, dan ibadah pula tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Setiap hari anda menangis mengenang nasib diri. Sanggupkah anda untuk hidup dalam keadaan begini selama berpuluh tahun, jika umur anda panjang?


9) Kita masih hidup hingga ke hari ini

Bersyukurlah kita kerana apabila membuka mata setelah bangun dari tidur, kita masih lagi bernyawa dan mampu menghirup udara yang semuanya sekadar pinjaman sementara oleh Allah. Ramai lagi manusia di luar sana yang belum sempat mengucap dua kalimah syahadah, meninggal ketika dalam tidurnya tanpa ditemani oleh sesiapa. Malah ada lagi manusia yang belum sempat bertaubat, diambil nyawanya dengan tragis oleh Izrail ketika diri masih lagi sedang berfoya2 melakukan maksiat. Kematian itu datang tanpa amaran. Oleh itu hargailah nyawa yang kita masih ada sehingga ke hari ini. Fikirlah bahawa Allah masih belum mengambil nyawa kita sebagai peluang untuk kita meperbetulkan kesalahan dan bersiap sedia sebelum dijemput ajal. Pernahkah kita tertanya2, sampai bila Allah akan memberikan kita peluang untuk terus hidup? Dan bilakah nyawa kita yang sekadar pinjaman ini akan diambil semula olehNya?


10) Kita dilahirkan sebagai seorang manusia, bukan haiwan atau makhluk yang lain

Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah menjadikan manusia sebaik2 makhluk, sebab itulah Allah memerintahkan para malaikat, iblis dan jin untuk sujud kepada Nabi Adam setelah diciptakan. Allah juga menjadikan manusia dengan nikmat akal fikiran yang tidak dikurniakan kepada makhluk Allah yang lain,seperti haiwan dan tumbuhan. Bayangkan anda dilahirkan menjadi haiwan, ditindas sesuka hati oleh manusia. Hidup di dunia hanya berlandaskan nafsu semata tanpa tujuan hidup. Mati tanpa dibangkitkan semula untuk dihisab. Tiada tempat di syurga atau neraka (kecuali 7 jenis haiwan yang disebutkan dalam AlQuran untuk memasuki syurga). Sesungguhnya inilah nikmat Allah yang paling besar untuk kita semua kerana kita bertuah untuk diciptakan dan dilahirkan di atas muka bumi sebagai seorang manusia.


Dan ada banyak lagi sebab2 lain kenapa kita sepatutnya bersyukur. Oleh itu janganlah sentiasa mengeluh apabila menerima dugaan oleh Allah. Sesungguhnya apalah sangat dugaan tersebut andai dibandingkan dengan pelbagai nikmat yang telah kita peroleh hingga ke hari ini. Renungkanlah soalan2 di penghujung ayat di atas. Renungkanlah kembali diri kita ini. Sudah cukupkah selama ini kita mengucap syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan?

Sama2lah kita muhasabah dan memperbaiki diri. Jumpa di post yang akan datang. Assalamualaikum wbt.


p/s : Bila hidup ini perlu memberikan kamu seribu alasan kenapa harus menangis,tunjukkan yang kamu ada beribu-ribu alasan untuk tersenyum. Usah mengeluh dan belajarlah bersyukur :)


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...