CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

2nd cerpen : Andai Tertulis Dia Jodohku


NURUL Imani  berjalan perlahan-lahan menyusuri laluan di taman permainan itu. Hanya seorang diri, tanpa berteman. Kejap-kejap dia tersenyum melihat gelagat kanak-kanak yang riuh rendah, berlari-lari bermain papan gelungsur dan jongkat jongket. Kejap- kejap dia melihat kenderaan yang tidak putus-putus lalu lalang di jalanan. Kemudian dia duduk di sebuah bangku kosong, lantas melontar pandangan ke arah tasik yang luas terbentang di hadapan matanya. Yang dipenuhi beberapa ekor swan putih dan juga kura-kura yang tenggelam timbul.

Huhh......’ keluar satu keluhan daripada mulut Imani tanpa dia sendiri menyedari. Kedua belah tangannya diraup lembut ke wajahnya. Serta merta suara ibu yang dikasihi terngiang-ngiang lagi di telinganya.

Imani dan 25 tahun sekarang. Dah sampai masanya Imani hidup berkeluarga macam kawan-kawan yang lain. Imani tak ada impian ke nak ada suami dan anak?’ Suara si ibu yang lembut tapi bernada tegas itu pantas ditangkap telinganya walaupun ketika itu Imani di dapur dan ibunya berada di ruang tamu bersama ayahnya.

Imani sekadar diam membatu, tidak menjawab. Dipilihnya untuk mengunci mulut sahaja. Tangannya laju menyambung kembali kerja mencuci pinggan mangkuk yang tergendala sebentar.

Nurul Imani. Dengar tak ibu cakap ni?’ Imani dapat mendengar dengan jelas suara ibunya mula berubah nada. Mungkin geram apabila soalan yang diajukan sengaja tidak diendahkannya.

Dengar bu,’ Imani menjawab lemah sebelum menghabiskan cucian pinggan yang terakhir. Kemudian dia mengeringkan tangan dan berjalan menuju ke ruang tamu. Dia melihat ibunya sedang bersila melipat kain di lantai manakala ayahnya sedang membaca surat khabar. Dia kemudian mengambil tempat duduk di sofa bertentangan dengan ayahnya.

Imani ada ‘kawan’ senyap-senyap ke? Cuma selama ni tak bagitau ibu ngan ayah?’ ternyata ibunya belum mahu menukar topik yang dibincangkan sebentar tadi. Imani menelan air liur. Gugup. Itu bukanlah kali pertama ibunya bertanya tentang kisah peribadinya. Sudah banyak kali. Cuma kali ni Imani mendengar sendiri nada ibunya yang benar-benar serius dan juga berbaur risau.

Mendengarkan soalan yang diajukan, ayah Imani menurunkan surat khabar yang dipegangnya dan memandang wajah anak dara sulungnya dengan perasaan ingin tahu.

Er, tak ada ibu,’ Imani menjawab soalan sambil menggeleng. Itulah juga jawapan yang diberinya apabila ditanyakan soalan yang sama sebelum ini. Wajah ibunya terus bertukar hampa. Sekali lagi.

Umur Imani akan semakin bertambah. Ibu takut kalau Imani lambat kahwin, nanti Imani lambat dapat anak. Itupun kalau lambat kahwin. Kalau tak kahwin sampai bila-bila, lagilah ibu dengan ayah risau. Tak tau dah nak cakap apa,’ kata ibu Imani dengan bersungguh-sungguh. Imani yang mendengar sekadar menundukkan kepala. Tak sanggup dilihat raut kehampaan yang entah kali keberapa jelas terpamer di wajah ibunya itu.

Ingin sahaja Imani jelaskan kepada ibunya betapa dia teringin untuk merasai kasih sayang dan cinta yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama suami. Bagaimana cemburunya dia apabila menghadiri kenduri kahwin rakan-rakannya, dan melihat sendiri sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka. Bagaimana dia teringin untuk merasai nikmat mengandung dan melahirkan seorang zuriat yang comel daripada rahim sendiri. Bagaimana dia teringin untuk menjalani kehidupan dan kewajipan sebagai seorang isteri dan ibu, dengan memasak, mengemas rumah, menguruskan anak dan menjaga keperluan suami. Bagaimana Imani ingin sekali agar ibu dan ayahnya tahu bahawa dia sudah lama mengimpikan semua itu, cuma Allah masih lagi belum mengizinkan dia untuk bertemu dengan jodohnya.

Kalau ayah carikan calon suami untuk Imani, nak tak?’ ayahnya yang sedari tadi mendiamkan diri dan sekadar menjadi pendengar, memberikan cadangan. Melihatkan betapa canggungnya Imani apabila membincangkan topik berkaitan kahwin, dia yakin bahawa hati anak gadisnya itu masih belum dimiliki sesiapa.

Imani masih diam membisu. Tidak mengiyakan mahupun menolak cadangan bapanya itu. Namun Imani sedar, jauh di sudut hati, dia sebenarnya keberatan untuk menerima cadangan ayahnya itu.

Kerana hakikatnya, hatinya sudahpun dicuri. Dicuri tanpa diketahui oleh si pencuri hati itu sendiri.

Ayah buatlah apa-apa yang ayah rasakan terbaik untuk Imani. Imani nak keluar sekejap, nak pergi kedai beli barang,’ lantas Imani bangun lalu meninggalkan kedua-dua ibu bapanya yang masih belum berhajat untuk menghentikan topik perbualan sebentar tadi. Selepas mengenakan tudung dan mengambil kunci kereta, Imani berlalu meninggalkan rumah.

Tengok tu bang, asal bukak topik ni mesti Imani nak lari. Macam mana kita nak capai kata sepakat?’ rungut ibu Imani sambil tangannya meneruskan kerja melipat kain.

***

Imani kembali melontarkan pandangan kearah tasik dihadapan matanya itu. Dia dapat merasakan bayu petang itu menampar wajahnya dengan lembut. Perlahan-lahan dipejamkan matanya, menikmati ciptaan Allah yang menenangkan itu. Hilang sebentar kekusutan yang bersarang di hati dan fikirannya.

Pada saat itu, tanpa diminta, muncul wajah seorang lelaki di fikirannya. Wajah seorang lelaki yang tidak pernah sekalipun luput dari ingatannya.

Muhammad Adham.

Lelaki pertama yang dikaguminya senyap-senyap sejak pertama kali mereka berjumpa, enam tahun yang lalu. Lelaki yang mampu mencairkan imannya, walaupun hanya sekadar dengan sebuah senyuman ikhlas yang tidak dibuat-buat. Lelaki yang masih lagi bertahta di hatinya, meskipun sudah hampir dua tahun mereka terpisah tanpa berhubung antara satu sama lain.

Imani sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Tidak pernah sekalipun Adham menyedari isi hatinya yang sudah terlalu lama disembunyikan itu. Lelaki yang hampir sempurna seperti Adham, sudah pasti digilai ramai gadis. Imani juga sedar, dengan terus-terusan mencintai lelaki itu, dia hanya menutup pintu hatinya daripada menerima lelaki lain dalam hidupnya. Oleh sebab itulah dia masih belum mampu untuk mencintai lelaki lain, kerana Adham masih mendapat tempat yang utuh dalam hatinya. Enam tahun Imani mencintai Adham dalam diam, dan sudah pasti tidak mudah untuk dia melupakan lelaki itu dalam sekelip mata.

Imani membuka kembali matanya. Tanpa disedarinya, ada air mata bertakung di situ, dan perlahan-lahan ia jatuh dan mengalir. Sungguh Imani sangat rindu kepada Adham. Sudah dua tahun lamanya mereka terpisah. Kali terakhir Imani melihat wajah Adham, adalah pada majlis konvokesyen universiti pada dua tahun yang lepas. Pada saat itu, dicelah-celah orang ramai, Imani melihat Adham melambai tangan kepadanya sambil tersenyum, sebelum masing-masing terpisah di antara ribuan manusia yang turut membanjiri dewan konvokesyen tersebut.

Hari pertama selepas tamatnya majlis konvokesyen, Imani terpaksa memujuk hatinya sendiri yang terus-terusan mengingati dan merindui Adham. Imani memujuk dirinya untuk menerima hakikat bahawa mereka kini sudah terpisah membawa haluan masing-masing. Buat pertama kali dalam hidupnya, Imani merasa betapa peritnya merindui seorang lelaki, yang tidak pernah sekalipun menyedari rasa rindu itu yang wujud dalam hatinya.

Seringkali apabila hati Imani resah gelisah, dia mendirikan solat dan membaca Al-Quran untuk melupakan Adham buat seketika. Imani tahu betapa besarnya dosa apabila dia mencintai seorang lelaki yang bukan muhrimnya, yang tidak halal untuknya, melebihi rasa cinta terhadap Allah SWT. Malangnya Imani tidak mampu. Dirinya tidak kuat untuk melawan kata hatinya.

Apabila Imani keseorangan, wajah Adham seringkali terbayang di fikiran tanpa diminta. Apabila Imani tidur, kadangkala Adham muncul dalam mimpinya. Apabila rindunya terhadap Adham dirasakan tidak tertanggung, Imani melayari Facebook Adham. Malangnya Facebook Adham langsung tidak aktif selepas mereka tamat belajar. Itulah yang dilakukan Imani sepanjang enam tahun dia memendam rasa cinta dan rindunya kepada seorang lelaki bernama Muhammad Adham.

Sudah terlalu banyak kali Imani cuba melakukan sesuatu untuk membuang Adham daripada terus bersarang dalam hati dan fikirannya, namun ia tetap tidak berjaya. Imani letih melawan perasaannya sendiri, sehingga sampai satu saat Imani sedar bahawa dia sudah tidak mampu lagi untuk mencuba. Akhirnya Imani membuat keputusan, biarlah dia terus mencintai Adham secara rahsia. Imani yakin, jika Adham bukan jodohnya, pada suatu hari nanti Allah akan membuang rasa sayang dan rindu dalam hatinya untuk lelaki itu. Tapi buat masa ini, biarlah dia tetap setia mencintai lelaki itu.

Imani membuka dompetnya. Terdapat sekeping gambar Adham bersama rakan-rakannya yang lain dicelah-celah ruang dalam dompet itu. Gambar Adham yang diambil ketika mereka bersama-sama bekerja di bawah satu kumpulan untuk satu tugasan dalam kelas. Gambar itu pernah sekali cuba dibuang oleh Imani, demi usahanya untuk melupakan lelaki itu. Namun hatinya tidak betah, dikutipnya semula gambar itu daripada tong sampah dan disimpan kembali dalam dompetnya. Sehingga hari ini, tidak pernah sekalipun Imani mengeluarkan gambar itu lagi. Sebagaimana tersematnya gambar Adham dengan kemas dalam dompet Imani, seperti itulah tersematnya diri Adham kemas dalam hati Imani, sejak enam tahun yang lalu.

***

JULAI 2006

Imani melilau seorang diri mencari-cari dewan kuliahnya di bangunan fakulti kejuruteraan yang tersergam indah itu. Sudah hampir sepuluh minit dia berseorangan, sambil matanya tidak berhenti membaca setiap papan tanda yang ada. Sudah beberapa orang pelajar diajukan soalan, namun jawapan yang diberikan tetap tidak membawa kepada tempat yang dituju.

Mana DKG ni? Sorang kata kat sana, sorang kata kat sini, pening dah kepala ni’ rungut Imani seorang diri. Peluh mula membasahi dahinya. Beg yang tersandang dibahunya mula dirasakan berat. Matanya yang sedari tadi membaca papan tanda mencari arah tuju, sudah semakin kabur pandangannya. Dan Imani semakin lesu kerana dia masih belum sempat bersarapan pada pagi itu.

Pada saat itulah, ketika Imani berjalan perlahan-lahan menaiki sebuah anak tangga, seorang lelaki tiba-tiba menegurnya dari belakang.

Cik, cik. Cik pakai tudung biru, tunggu sekejap,’ jerit lelaki yang berada tidak jauh di belakang Imani. Imani yang menyedari tudung yang dipakainya itu berwarna biru, segera menoleh kebelakang. Dilihatnya seorang lelaki bercermin mata, bersama seorang lagi rakannya sedang berjalan menuju kearahnya.

Er, awak cakap dengan saya?’ Imani bertanya bagi mendapatkan kepastian. Malu pula rasanya jika bukan dia gadis yang dipanggil oleh lelaki itu sebentar tadi.

Yalah cik. Kan awak sorang je yang pakai tudung biru kat sini,’ kata rakan kepada lelaki yang memanggilnya sebentar tadi sambil ketawa. Imani segera memasamkan muka. Pertanyaan yang ditanya diketawakan pula. Lelaki yang bercermin mata dihadapannya segera menyiku rakannya apabila menyedari raut wajah Imani mula berubah.

Maaf cik. Tadi saya nampak kad matriks cik jatuh. Ni saya tolong kutipkan,’ kata lelaki itu sambil menghulurkan kad matriksnya dengan tangan kanan. Serentak dengan itu, Imani mengerling tudungnya. Kad matriks yang biasanya tergantung disitu sudah tiada.

Oh haahla. Tak perasan pulak tercicir tadi. Terima kasih banyak-banyak ye,’ Imani cuba mengambil kad matriksnya daripada tangan lelaki itu. Lelaki itu segera memegang hujung kad tersebut, cuba untuk tidak bersentuhan tangan dengan Imani. Imani yang memahami, segera menadah tangannya dan lelaki itu menjatuhkan kad matriks kepunyaannya diatas tangannya. Imani lantas tersenyum sendirian secara senyap-senyap. Perlakuan lelaki itu sungguh menarik perhatiannya.

Sebenarnya, dari tadi saya perasan cik asyik berulang alik kat bangunan ni. Cik tersesat ke? Nak cari tempat mana?’ lelaki itu yang sedari tadi menyedari kelibat Imani cuba bertanya, kalau-kalau boleh menghulurkan bantuan.

Saya cari Dewan Kuliah G. Saya ada kelas dalam 5 minit lagi, tapi dari tadi saya cari tak jumpa-jumpa. Penat dah ni,’ Imani bercerita sambil cuba mengesat peluh di dahi menggunakan belakang tapak tangannya.

Eh la. Kitorang pun nak pergi DKG tu. Ni student electrical engineering la kan? EE221?’ kata rakan lelaki bercermin mata itu dengan semangatnya. Serta merta riak wajah Imani berubah gembira. Akhirnya dia bertemu dengan insan yang boleh diharapkan untuk memandunya menuju ke tempat yang betul.

Haah, saya student EE221. Syukurlah akhirnya jumpa jugak dengan student satu course. Saya baru sampai pagi ni, tak sempat nak cari awal2 dewan kuliah kat mana,’ Imani berkata sambil senyuman terukir di bibir. Terasa macam hilang satu beban yang sedang digalasnya.

Kalau macam tu, jomlah kita pergi kelas sekali. Lagi lima minit kelas dah nak mula,’ lelaki bercermin mata itu tersenyum sambil mempelawa. Imani mengangguk dan menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka.

Perlahan-lahan Imani melangkah mengikuti dua orang lelaki di hadapannya itu. Sempat Imani memandang sekilas dua orang lelaki yang bakal menjadi rakan sekelasnya itu. Seorang bercermin mata, perwatakannya sopan. Seorang lagi berkemeja ringkas dan berperwatakan selamba.

Eh, kita belum berkenalan lagi la. Kita dah nak jadi rakan sekelas kan? Nama saya Ahmad Fahim. Boleh panggil Fahim,’ kata lelaki berkemeja sambil tersenyum, setelah menyedari Imani sekadar membatukan diri di belakang mereka.

Saya Nurul Imani. Boleh panggil Imani,’ Imani memperkenalkan diri sambil tersenyum. Kemudian mata Imani beralih arah daripada Fahim kepada lelaki di sebelahnya itu. Lelaki itu yang ketika itu memandang kebelakang dan menyedari sorotan mata Imani, segera tersenyum.

Senyuman itulah yang tiba-tiba menimbulkan rasa getar seketika dalam hati Imani. Pada saat itu juga.

Saya Adham. Muhammad Adham,’ katanya lagi dengan senyuman yang masih tidak lekang dari bibir. Senyuman dari sebuah wajah yang bersih yang sungguh menenangkan hati.

Muhammad Adham,’ gumam Imani perlahan seorang diri. Dia tidak tahu, nama itulah yang bakal tersemat dalam hatinya sekian lama, bermula pada saat itu sehingga enam tahun yang akan datang...

***

Pertemuan pertama itu akhirnya memutikkan sebuah persahabatan yang ikhlas antara Imani, Adham dan Fahim. Pada hari pertama di kelas, Imani mengambil tempat di belakang Adham dan Fahim. Sementara menanti pensyarah yang lambat masuk, mereka berbual seketika sambil meneruskan sesi perkenalan. Pelbagai perkara yang mereka bualkan bersama, bermula dari topik tempat tinggal, sekolah lama, kisah keluarga masing-masing dan keputusan SPM, semua mereka kongsikan bersama. Imani begitu selesa bersahabat dengan mereka berdua pada hari pertama pembelajaran pada hari itu.

Dan pada hari itu juga, Imani berkenalan dengan dua orang pelajar perempuan yang duduk sebaris dengannya di dalam kelas. Sofia dan Musliha. Sofia seorang gadis yang berperwatakan kasar, manakala Musliha gadis yang bersifat lemah lembut dan sopan santun. Imani gembira kerana mendapat ramai rakan baru pada hari pertama di kelas. Ternyata mereka juga teruja dan bersemangat untuk menempuh kelas pertama pada hari pertama semester baru, sama seperti dirinya.

Tidak lama kemudian, Encik Shahril, pensyarah yang ditunggu-tunggu pada kelas pertama pada hari itu akhirnya tiba. Sebaik sahaja mengucapkan selamat pagi dan memperkenalkan diri, beliau bersuara dihadapan 130 orang pelajarnya.

Sebelum kita memulakan sesi pada hari ini, saya nak seorang pelajar lelaki pergi ke hadapan kelas dan bacakan doa untuk kita semua. Ada sesiapa yang sudi?’ kata Encik Shahril sambil memandang seisi kelas.

Serentak dengan itu, para pelajar lelaki yang mendominasi bahagian belakang dan hadapan dewan mula memandang sesama sendiri. Ada diantara mereka yang saling menolak dan menuding jari antara satu sama lain. Imani sekadar memerhati sahaja gelagat pelajar-pelajar lelaki tersebut. Dia yakin tidak akan ada sesiapa yang sudi menawarkan diri.

Serentak dengan itu, Adham yang duduk dihadapannya tiba-tiba bangun. Imani terkejut seketika. Perlahan-lahan Adham berjalan untuk menuju ke hadapan kelas. Sebaik sahaja tiba di meja hadapan, dia tersenyum kepada Encik Shahril, lalu mengambil mikrofon.

Al Fatihah.....’ Adham bersuara sebelum memulakan bacaan doanya. Kemudian dia menadah tangannya dan membaca doa sambil menundukkan kepala dan memejamkan matanya. Seisi kelas mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh Adham.

Tamat membaca doa, Adham kembali ke tempat duduknya. Mata Imani tidak lekang memerhatikan Adham sehingga dia duduk kembali. Adham yang menyedari Imani sedang memandangnya, sekadar memberikan senyuman ringkas. Imani membalas senyumannya. Saat Adham sudah duduk dan memandang ke depan, Imani masih belum berhenti memandangnya. Pada saat itu, Imani sedar, ada sesuatu yang luar biasa tentang Adham yang menimbulkan rasa aneh dalam hatinya. Sesuatu yang sukar diungkapkan bagaimana rasanya, berkaitan dengan lelaki yang sedang duduk di hadapannya ini. Yang pasti, Imani mula merasakan jantungnya berdegup kencang. Lebih-lebih lagi apabila melihat senyuman ikhlas yang diberikan Adham sebentar tadi.

Pada saat itu, Imani tidak sedar, Musliha yang duduk di sebelah kanannya, juga tidak lepas matanya  memerhatikan Adham sedari tadi...

***

Bermula pada hari itu, segala apa yang dilakukan oleh Adham, meskipun kecil, akan mendapat perhatian Imani. Bagaimana lembut dan sopannya tutur kata Adham terhadap Fahim dan rakan-rakannya yang lain, bagaimana khusyuknya Adham menuturkan doa di hadapan kelas, bagaimana Adham menjaga pergaulannya dengan para pelajar perempuan, bagaimana Adham senyap menumpukan perhatian terhadap apa yang diajarkan di hadapan kelas diasaat rakan-rakannya asyik bersembang, semuanya diperhatikan Imani secara rahsia. Hari demi hari, Adham menjadi seorang lelaki yang semakin istimewa di mata Imani. Sehinggakan nampak kelibat Adham di kelas sahaja pun, Imani sudah berasa gembira dan bersemangat pada hari itu. Dan Imani akan sentiasa memastikan tidak ada seorang pun dikalangan rakannya yang mengetahui rahsianya yang dipegang utuh itu.

Pada suatu petang, disaat Imani, Sofia dan Musliha sedang bersembang-sembang sambil menikmati minuman di sebuah gerai, tiba-tiba sahaja Sofia membuka topik perbincangan yang sangat-sangat menarik perhatian Imani. Topik yang berkaitan Muhammad Adham.

Aku tengok kan, Adham tu, lelaki yang paling perfect la dalam kelas kita. Dengan baiknya, sopannya, hensemnya. Aku yang susah gila nak sangkut dengan mana-mana mamat pun boleh cair woo,’ Sofia bersuara sambil memandang kedua-dua sahabat baiknya itu.

Aih, tiba-tiba bukak topik pasal Adham. Ni sah-sah dah jatuh hati kat Adham betul-betul ni kan?’ Imani bertanya sambil berseloroh untuk cuba memancing isi hati sahabatnya itu. Sungguh saat itu dia ingin mengetahui isi hati Sofia. Apakah Sofia juga merasakan sama dengan apa yang dia rasa selama ini?

Haha takdelah Imani. Aku yang kasar plus lasak ni, manalah padan dengan Adham tu. Orang macam Adham tu, padan dengan gadis-gadis solehah dan ayu macam Musliha kita ni,’ Sofia berkata sambil tertawa kemudian dia mengerling Musliha yang duduk di sebelah kirinya itu.

Ey awak ni kan Sofia. Pandai-pandai je tau,’ Musliha berkata perlahan sambil cuba memukul lengan Sofia. Namun Imani dapat melihat dengan jelas, pipi Musliha mula bertukar warna menjadi rona kemerahan.

Alah Musliha ni malu-malu pulak. Kan ke Adham tu pun nampak macam suka kat awak je? Mengaku je la, hehe,’ selamba sahaja Sofia mengusik Musliha. Musliha pula terus membulatkan mata sambil betul-betul memukul lengan Sofia. Mendengarkan usikan Sofia itu, Imani merasakan jantungnya bagai direntap. Apakah benar apa yang baru sahaja didengarinya sebentar tadi? Adham menyukai Musliha?

Eh, Adham suka Musliha ke Sofia? Biar betul? Kenapa aku tak tahu?’ Imani cuba untuk mengorek lagi rahsia yang mungkin selama ini tersimpan rapi daripada pengetahuannya. Aku perlu tahu perkara yang sebenar, getusnya di dalam hati.

Hari tu kan Imani, aku nampak Adham tersenyum kat Musliha bila mereka bertembung. Lepas tu ada sekali tu aku nampak Adham pass sesuatu kat Musliha. Bila aku tanya apa dia, Musliha cakap tak ada apa-apa,’ Sofia menyambung cerita sambil cuba menepis pukulan daripada Musliha. Imani mengerling matanya ke arah Sofia. Dia dapat melihat wajah Musliha yang putih gebu itu sudah bertukar menjadi merah padam.

Memang tak ada apa-apalah, sebab tu saya tak cerita,’ Musliha berkata sambil cuba untuk bangun dan berlalu. Sofia sekadar ketawa sambil menarik tangan Musliha untuk menyuruhnya duduk kembali.

Pada ketika itu, Imani dapat merasakan perasaannya bercampur baur. Perasaan kecewa, cemburu, luluh, pilu, sakit hati, semuanya kini bercampur menjadi satu. Melihatkan betapa merahnya wajah Musliha menahan rasa malu, Imani yakin bahawa Musliha juga meminati Adham secara senyap-senyap, sama seperti dirinya. Dan melihatkan betapa secocoknya Musliha yang berwajah ayu, solehah dan bersopan santun itu dengan Adham, Imani yakin bahawa Adham juga sebenarnya menaruh hati terhadap sahabat baiknya itu. Disaat Sofia ketawa terbahak-bahak mengusik Musliha yang masih lagi malu-malu, Imani sekadar tersenyum palsu sambil memerhatikan gelagat sahabat-sahabatnya. Sedangkan hatinya yang  sebenarnya menangis hiba pada waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu.

***

Selepas sahaja mendengarkan cerita yang disampaikan Sofia semalam, Imani langsung tidak betah untuk melihat wajah Adham pada hari hari seterusnya. Setiap kali melihat kelibat Adham di fakulti, hati Imani terasa sakit yang luar biasa. Malah dia cuba untuk mengelak apabila menyedari Adham berada berhampiran dengannya. Mengenangkan senyuman manis Adham itu mungkin sudah menjadi milik Musliha, Imani sedaya upaya menahan pandangannya daripada terus memerhatikan Adham. Kerana dia tahu apabila melihatkan senyuman Adham, hatinya akan terasa seperti hendak menangis lagi.

Saat Imani menolak pintu untuk keluar daripada perpustakaan, dia bertembung dengan Adham dan Fahim yang ketika itu sedang berjalan untuk memasuki perpustakaan. Mata Imani terbuntang seketika, lebih-lebih lagi apabila Adham berdiri betul-betul dihadapannya. Adham juga kelihatan terperanjat melihat Imani yang tiba-tiba muncul di hadapannya itu.

Eh, hai Imani. Lamanya tak tegur kan,’ Fahim yang berada di belakang Adham berkata riang lalu memecah kesunyian yang tiba-tiba sahaja terjadi di hadapan pintu masuk perpustakaan itu. Imani sekadar memandang Fahim yang sedang tersenyum ceria, kemudian matanya dihalakan kearah Adham yang berada dihadapannya. Serentak dengan itu, Adham yang tidak pernah lekang dengan senyuman, terus sahaja tersenyum kepada Imani. Senyuman membunuh yang sering dikenang-kenang oleh Imani.

Imani tidak menjawab sapaan Fahim. Dia sekadar tersenyum kelat kepada kedua-dua lelaki itu sebelum berlalu.  Imani sedaya upaya menahan dirinya daripada memandang kembali Adham dan Fahim di belakangnya. Dia tidak mahu perasaannya terhadap Adham kembali mekar, lebih-lebih lagi setelah melihat kembali senyuman Adham yang begitu dirinduinya.

Fahim mengangkat kening melihat reaksi Imani yang tidak disangka-sangka itu. Adham turut terperanjat. Selama ini Imani yang mereka kenali sebagai seorang gadis yang murah senyuman dan mesra, tiba-tiba sahaja berubah watak dihadapan mereka pada saat itu.

Eh, kenapa dengan Imani? Kita ada buat silap apa-apa ke?’ tanya Adham kepada Fahim sambil matanya terus memerhatikan kelibat Imani yang semakin menjauh.

Entahlah. Tak tahu. Agaknya dia tengah dalam mood PMS kut. Takpelah, jom masuk. Kita nak kena cepat ni,’ kata Fahim yang turut memerhatikan Imani. Kemudian dia menolak pintu dan terus masuk ke dalam perpustakaan.

Adham sekadar mendiamkan diri. Dia tidak menturuti Fahim masuk ke dalam perpustakaan. Sebaliknya, dia menjeling kebelakang melihat kelibat Imani sehingga Imani hilang dari pandangan matanya. Kemudian baru dia menolak pintu perpustakaan lalu masuk ke dalam.

***

‘Saya nak semua student buat kumpulan, dalam lima orang. Kelas kali ni saya nak semua orang buat presentation tentang apa yang kita belajar pada kelas yang lepas. Okey, semua boleh bergerak sekarang,’ kata Encik Shahril kepada seisi kelas. Pada saat itu juga para pelajar segera bangun dan bergerak mencari ahli kumpulan masing-masing.

Musliha, Sofia, kita stick satu kumpulan macam biasa ye. Eh siapa lagi dua orang yang kita nak cari ni?’ tanya Imani sambil matanya melilau-lilau mencari pelajar yang masih tidak mempunyai kumpulan.

Oh dan lagi satu. Saya nak kumpulan bercampur lelaki dan perempuan. Saya taknak satu group tu semua perempuan atau lelaki je. Saya nak tengok macam mana student lelaki dan perempuan bekerjasama berkongsi idea dan bertukar pendapat,’ suara Encik Shahril sekali lagi memecah suasana riuh rendah dalam dewan kuliah itu. Imani, Musliha dan Sofia lalu memandang sesama sendiri.

Pada saat itu juga, Imani terdengar suara Adham berada betul-betul di belakangnya.

Imani, Sofia, Musliha, group awak dah penuh ke? Kalau ada kosong lagi, saya dan Fahim nak masuk boleh?’ kata Adham dan serentak dengan itu Imani menoleh kebelakang. Dia melihat Adham dan Fahim kedua-duanya sudah tercegat sambil memegang buku dan beg. Imani terkedu seketika apabila melihat kelibat Adham yang masih lagi menanti jawapan daripada mulutnya.

Err.. err... tapi...’ Imani sedang merangka-rangka ayat untuk cuba menolak Adham dan Fahim daripada menyertai kumpulannya. Dia tahu jika Adham menyertai kumpulannya bersama Musliha dan Sofia, dia tidak boleh menumpukan perhatian. Imani masih gagal dalam mengawal perasaannya terhadap Adham. Sambil itu Imani menjeling Musliha di sebelahnya. Musliha sudah mula tersipu-sipu sambil cuba mengelak daripada memerhatikan Adham yang berdiri di hadapannya.

Ha, boleh boleh. Kitorang memang tak cukup lagi dua orang ni. Ok gak Adham ngan Fahim kalau korang masuk. Korang dua-dua smart kut,’ Sofia tiba-tiba tolong menjawab soalan bagi pihak Imani. Imani kematian kata-kata. Fahim terus berseri-seri mukanya lalu terus mengambil tempat di hadapan Imani. Adham pula mengambil tempat di sebelah Sofia. Musliha pula semakin jelas rona kemerahan di mukanya, mungkin kerana Adham mengambil tempat betul-betul dihadapannya.

Perbincangan berkumpulan lalu dimulakan. Setelah mendapat beberapa soalan berkaitan topik pembelajaran mereka pada kelas yang lepas, terus sahaja semua pelajar memulakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang diberi. Imani yang pada mulanya agak resah, hilang terus perasaan itu sebaik sahaja dia melihat soalan-soalan di atas kertas. Begitu juga dengan Musliha yang pada mulanya malu-malu, bertukar menjadi bersemangat. Kini, soalan- soalan tersebut adalah lebih penting dan mereka perlu menyelesaikannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Ternyata perbincangan berkumpulan ini berjaya menghilangkan rasa janggal dalam diri Imani. Rancak sungguh dia memberikan pendapat. Fahim yang tidak kurang bijaknya, memberikan jalan penyelesaian yang agak berbeza. Adham pula muncul dengan cadangan yang lebih jelas dan mudah difahami. Sofia dan Musliha, membuat sedikit penambahbaikan kepada penyelesaian-penyeselaian yang dicadangkan. Dan akhirnya kelima-lima pelajar itu berbincang dalam suasana yang menyenangkan dan Fahim sempat berjenaka bagi memeriahkan suasana.

Imani ketawa terbahak-bahak mendengarkan jenaka Fahim. Fahim kelihatan gembira kerana berjaya menceriakan suasana perbincangan tersebut. Disaat Imani masih lagi cuba menghabiskan sisa tawanya, Fahim yang berada di hadapan Imani tersenyum gembira.

Ha, kan bagus Imani, kalau selalu gembira macam ni. Ni tak, selalu senyum tak ikhlas je,’ kata Fahim perlahan tanpa disedari oleh Sofia dan Musliha, namun disedari oleh Adham. Imani terdiam seketika mendengarkan kata-kata Fahim. Adham yang mendengar, tersenyum sambil mengangguk tanda bersetuju dengan Fahim. Imani tiba-tiba berasa mukanya bertukar merah akibat malu lalu dia kembali memandang kertas soalannya. Namun tidak lama kemudian, dia tersenyum juga, tanpa menyedari bahawa Adham sedang memerhatikannya secara senyap.

Eh korang, alang-alang dah habis bincang ni, jom ambik gambar sekali nak? Bukan selalu kita kumpul berbincang macam ni,’ kata Sofia sambil berdiri. Serentak dengan itu Imani, Musliha, Adham dan Fahim memandang kearahnya.

Er, nak pakai kamera siapa? Handphone aku takde kamera,’ kata Fahim sambil menunjukkan telefon bimbitnya.

Rasa-rasanya kamera handphone Imani lawa,’ kata Musliha sambil memandang Imani. Imani mengangguk lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dan bersedia untuk mengambil gambar.

Okey semua, senyum,’ kata Imani, bersedia untuk mengambil gambar. Serentak dengan itu, Musliha, Sofia, Adham dan Fahim mengukir senyuman. Dan disaat Imani memandang wajah Adham dalam kamera telefon bimbitnya yang sedang tersenyum, hati kecilnya bergetar lagi.

***

Imani merenung jauh kearah tasik Shah Alam yang terbentang luas di hadapan matanya itu. Jiwanya kini terasa tenang, setenang tasik itu yang begitu mendamaikan pandangan mata. Begitulah yang sering dilakukan oleh Imani setiap kali hatinya berasa resah gelisah. Dia akan pergi ke sebuah tempat yang menenangkan, termenung bersendirian sambil membuai perasaan sendiri, berseorangan tanpa ditemani sesiapa. Dan pada petang itu, Imani sedar hatinya berasa gundah gulana, lalu dia membuat keputusan untuk duduk di sebuah bangku di bawah pokok yang menghadap tasik tersebut. Sambil itu dia menyedut udara segar sedalam-dalamnya, lalu menghembuskan nafasnya dengan kuat. Sungguh, pada saat itu, jiwanya berasa sungguh tenang.

Telefon bimbit yang disimpan di dalam poket seluarnya, dikeluarkan lalu dibelek. Perlahan-lahan Imani melihat satu persatu gambar yang ditangkap dan disimpan di dalam galeri telefon bimbitnya. Satu persatu gambarnya dilihat. Gambar keluarganya, gambar Musliha dan Sofia, gambar kerja projeknya, dan akhirnya Imani terhenti di sebuah gambar yang seringkali diperhatikannya secara senyap-senyap. Gambar Adham, Fahim, Sofia dan Musliha bersama. Meskipun dia tiada dalam gambar tersebut, itulah satu-satunya gambar Adham yang berada dalam simpanannya.

Imani merenung wajah Adham yang tersenyum mesra dalam gambar tersebut.  Fahim yang turut tersenyum ceria disisinya, serta Sofia dan Musliha yang juga tersenyum lebar, seolah-olah tidak wujud dalam gambar tersebut, kerana matanya tetap tertumpu kepada Adham seorang. Sudah hampir setahun berlalu sejak gambar itu diambil, dan dalam setahun itulah rahsia hatinya terhadap Adham tetap tersimpan rapi daripada pengetahuan sahabatnya. Dan dalam setahun itulah perasaannya terhadap Adham tidak pernah pudar walau sekali. Kerana Imani merasakan Adhamlah lelaki yang paling sempurna yang pernah ditemui dalam hidupnya.

Ya Allah, aku tahu perasaan aku terhadapnya ini salah. Aku tahu aku tidak sepatutnya menyayangi lelaki ini yang tidak halal bagiku. Jika Kau tidak pernah menciptakan lelaki ini untukku, Kau buangkanlah perasaan ini daripada terus bersarang dalam hatiku. Bantulah aku Ya Allah, sesungguhnya aku tidak terdaya,’ luah Imani perlahan. Itulah doa yang sering diungkapkannya bila-bila masa dia merindui Adham. Kerana Imani mula merasai betapa terseksanya rasa apabila memendam perasaan sendiri yang tidak pernah sekalipun mahu luput dari hatinya.

Pada saat Imani masih merenung gambar Adham, tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur lima tahun berlari kearahnya. Imani terkejut seketika, lalu memandang wajah kanak-kanak itu. Kanak-kanak yang sungguh comel wajahnya itu, sedang menangis teresak-esak. Wajahnya basah dengan air mata dan di tangan kanan kanak-kanak itu tergenggam kemas sebuah anak patung yang comel.

Eh adik, adik, kenapa nangis sorang-sorang kat sini? Ibu ayah mana?’ tanya Imani yang semakin panik apabila kanak-kanak itu tidak berhenti menangis.

Ibu.. ibu ilang....’ kata kanak-kanak itu sambil tangannya mengesat air mata yang laju mengalir. Imani segera memimpin tangan kanak-kanak itu, lalu memujuknya dengan lembut.

Adik jangan nangis ye. Akak tolong adik cari ibu ye. Jom kita cari ibu sama-sama,’ Imani berkata dengan lembut sambil tersenyum. Melihatkan wajah Imani yang mesra itu, kanak-kanak itu perlahan-lahan berhenti menangis. Imani lalu memegang tangan kanak-kanak itu lalu membawanya ke kawasan taman permainan yang dikerumuni ramai orang. Mungkin ada ibunya sedang mencari-cari di situ.

Hampir lima belas minit Imani berpusing-pusing disitu, cuba mencari ibu yang sedang mencari anak kecilnya, namun tidak berjumpa. Imani dapat melihat kanak-kanak itu sudah mula kepenatan. Imani yang kasihan terhadap anak kecil itu, segera mendukungnya dan membawanya ke gerai berhampiran.

Adik haus ye? Kita rehat sekejap ye. Ni akak beli air untuk adik. Adik nak aiskrim tak?’ tanya Imani sambil menunjukkan peti aiskrim dihadapannya. Kanak-kanak itu mengangguk laju sambil tersenyum. Jauh disudut hati Imani, dia berasa lega kerana anak kecil itu tidak lagi meragam seperti sebelumnya, walalupun ibunya masih lagi belum ditemui.

Setelah membeli minuman dan aiskrim, Imani meneruskan perjalanan mencari ibu kepada anak kecil itu, sambil kanak-kanak itu berjalan perlahan disisinya sambil menikmati aiskrim. Setelah hampir sepuluh minit Imani dan kanak-kanak itu berjalan bersama di laluan pejalan kaki di tepi tasik, tiba-tiba langkah anak kecil itu terhenti.

Ibuuuuuuuu!!!,’ jeritnya sambil terus berlari ke arah seorang wanita yang tidak jauh dari mereka. Imani segera memandang terhadap wanita yang dimaksudkan. Ternyata wajah wanita itu amat panik. Mungkin kerana dia juga sudah terlalu lama mencari kelibat anak kecilnya yang hilang itu.

Farah.. Farah. Ya Allah syukurlah Farah tak apa-apa!’ Imani terdengar wanita itu separa menjerit dari jauh, lalu dia segera memeluk anak kecil itu kepangkuannya. Perlahan-lahan Imani berjalan menuju ke arah mereka.

Anak yang tolong jaga Farah masa dia hilang tadi?’ tanya wanita itu apabila melihat Imani berjalan kearah mereka sambil membawa anak patung milik anaknya itu. Imani sekadar mengangguk sambil tersenyum. Sungguh pada saat itu Imani berasa lega kerana kanak-kanak itu akhirnya berjaya menemui ibunya semula.

Ya Allah, syukurlah anak ni yang jumpa Farah tadi. Kalau penculik yang nampak Farah dulu, tak taula makcik apa akan jadi. Terima kasih banyak-banyak ye nak,’ kata wanita itu sambil cuba memeluk Imani. Imani sekadar tersenyum lalu membalas pelukan wanita itu. Farah juga memeluk Imani sambil mengucapkan terima kasih setelah diajar ibunya. Akhirnya Imani melihat kedua ibu dan anak itu berlalu pergi, sebelum keduanya hilang dari pandangan.

Kemudian dia tersenyum lagi.

Imani tidak sedar, bahawa gelagatnya sedang asyik diperhatikan dari jauh oleh Adham dan Fahim yang kebetulan sedang beriadah di taman tasik tersebut pada petang itu. Adham yang sudahpun menyedari kelibat Imani berseorangan di bawah pokok sejak dari awal, sekadar memerhati secara senyap bermula pada saat Imani sedang membelek telefon bimbitnya, sehinggalah pada saat Imani bertemu dengan ibu kepada anak kecil itu. Dalam hatinya terselit perasaan kagum melihat perlakuan Imani sebentar tadi. Dan Fahim yang turut menjadi pemerhati seperti Adham, tidak terkecuali.

***

Pada hari lahir Imani yang ke-23, Imani duduk bersendirian di dalam biliknya setelah seharian keluar bersama Musliha dan Sofia untuk meraikan hari lahirnya. Awal-awal pagi, dua orang sahabatnya membelanja Imani bersarapan di warung kegemarannya. Selepas itu mereka keluar ke Sunway Pyramid untuk menonton wayang dan bermain ice-skating. Musliha dan Sofia turut membelikannya sebiji kek harijadi dan menghadiahkan jam tangan dan dompet sebagai hadiah. Sungguh, Imani berasa sungguh bertuah dan dia bersyukur kerana dikurniakan dua orang sahabat sebaik mereka.

Imani, tahun ni awak dapat hadiah misteri lagi tak?’ tanya Musliha kepada Imani saat mereka sedang menikmati makanan tengahari di sebuah restoran. Musliha sempat tersenyum nakal saat bertanyakan soalan itu. Imani lantas menghentikan suapan makanannya. Dia teringat, pada hari lahirnya pada tahun-tahun yang lepas, dia ada menerima pelbagai hadiah harijadi antaranya coklat, teddy bear, dan gelang tangan.  Sehingga ke hari ini, Imani tidak pernah tahu siapa gerangan pemberi hadiah itu, kerana si pemberi hadiah tidak pernah mendedahkan siapa dirinya. Namun Imani tetap menerima hadiah tersebut dengan rasa gembira dan dengan tangan terbuka.

Eh haahlah Musliha. Lupa pulak tiap-tiap tahun Imani mesti ada dapat satu hadiah birthday special daripada seorang insan misteri. Mesti harini jugak hadiah Imani sampai kan?’ Sofia yang baru teringat akan hal itu berkata dengan semangatnya. Imani sekadar membuat wajah acuh tak acuh.

Hm, takdelah korang. Rasa-rasanya tahun ni dia tak bagi dah kut. Boringla dia kalau bagi tiap-tiap tahun, tapi sekali pun aku tak pernah cakap terima kasih kat dia,’ Imani berkata sambil menyedut minumannya.

Itu salah dia la sebab jadi insan rahsia. Bukan salah kau Imani. Eh tapi rasa-rasa korang kan, siapa yang bagi? Mestilah lelaki kan?’ Sofia bertanya sambil matanya tidak lekang memandang wajah Musliha dan Imani.

Hehe awak ni Sofia. Confirmlah lelaki. Tapi siapa ye pelajar lelaki kelas kita yang minat Imani senyap-senyap? Saya tak pernah perasan,’ Musliha berkata sambil menyuap makanan ke dalam mulutnya.

Kenapa aku rasa kan Imani, lelaki yang bagi hadiah kat kau tu Adham?’ tiba-tiba sahaja Sofia menyatakan pendapatnya, lalu pada saat itu juga Imani tersedak. Imani yang cuba mengurut dada segera menoleh kearah Musliha. Dia menyedari reaksi wajah Musliha juga berubah, namun tidak ketara seperti dirinya.

Adham??? Tak mungkinlah. Kan korang cakap dulu Adham minat ngan Musliha?’ Imani mengambil tisu sambil mengesat mulutnya.

Ey, kan saya dah cakap saya dengan dia tak ada apa-apa. Awak semua ni kan....’ Musliha mula mengerutkan wajahnya. Terhenti terus kunyahan makanannya sebentar tadi.

Haha rileksla korang ni. Aku main agak-agak aje. Tapi kalau betul pun Adham, tak mustahil kan?’ Sofia berkata sambil tersenyum meleret kepada Imani dan Musliha. Musliha sekadar mendiamkan diri manakala Imani memandang Sofia sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian terhadap makanannya.

Adham bagi? Tak mungkin.......,’ Imani bermonolog sendirian.

***

TOKKK TOKKKK’ Imani tersentak apabila mendengar pintu biliknya diketuk. Segera dia bangun lalu menuju ke arah pintu. Sangkanya Musliha dan Sofia sudah pulang, namun apabila pintu dibuka, tiada sesiapa yang berdiri di hadapan pintu biliknya. Imani mengerutkan muka, kehairanan.

Lalu mata Imani tertumpu terhadap ‘sesuatu’ yang berada betul-betul di hadapan pintunya. Imani melihat kebawah, dan betul-betul di hadapan kakinya terletak sebuah kotak hadiah berbalut cantik. Imani mengangkat kotak tersebut, dan tertera nama ‘Nurul Imani’ di atas pembalut hadiah itu. Imani sempat menjeling ke kiri dan ke kanan, sebelum dia mengangkat kotak itu lalu membawanya masuk ke biliknya.

Imani membawa kotak itu ke sisi katilnya. Perlahan-lahan dia membuka pembalut hadiah itu, untuk melihat isi di dalamnya. Dan setelah kotak itu dibuka, Imani terlopong seketika apabila melihat sebuah kotak muzik berwarna ungu berada di dalamnya. Segera Imani mengeluarkan kotak muzik itu, membeleknya dengan rasa kagum, sebelum membuka penutup kotak muzik itu.

Sebaik sahaja kotak muzik itu terbuka, beralunlah sebuah lagu lembut yang akan menjadi halwa telinga bagi sesiapa yang mendengarnya. Dan serentak dengan itu, Imani terlihat sehelai kertas kecil di dalam kotak itu. Segera dia mengambil kertas itu dan membaca tulisan yang tertera di atasnya.

Ini mungkin hadiah birthday terakhir saya untuk awak. Lepas ni mungkin saya dah tak berpeluang nak bagi lagi macam dulu. Selamat hari lahir ke-23 Imani. Semoga Allah memanjangkan umur & memurahkan rezeki awak :)

Tanpa disedari, air mata Imani bergenang sebaik sahaja dia membaca isi kandungan kertas tersebut. Pada saat itu hatinya terasa sungguh sebak dan terharu. Tak disangka selama ini rupanya ada insan lain yang ambil tahu tentang hari lahirnya, malah mendoakan kesejahteraannya walaupun sekadar dari jauh. Imani menyeka air matanya sebelum tersenyum kembali sambil membelek kotak muzik itu.

Dan apabila Musliha dan Sofia pulang dan separa menjerit setelah mengetahui ketibaan hadiah harijadi Imani daripada insan misteri itu, Imani masih lagi termangu sendirian sambil membaca kembali isi kandungan kertas itu berulang-ulang kali.

Insan misteri, siapa kau sebenarnya?’ persoalan inilah yang tidak henti-henti bermain di mindanya.

‘Aku harap suatu hari nanti, Allah akan membuka pintu hatimu untuk kau datang sendiri kepadaku dan memperkenalkan dirimu,’ luah Imani perlahan sebelum dia menyimpan elok-elok kertas kecil itu di dalam buku notanya.

***

Imani, Imani, tunggu sekejap,’ Imani terdengar Adham memanggilnya dari belakang. Serta merta hati Imani berdebar-debar. Itulah yang dirasakannya setiap kali dia mendengar suara Adham memanggilnya seperti saat itu, atau apabila dirinya bertembung dengan Adham walaupun di mana jua.

Musliha, Sofia, korang pergi dulu boleh? Nanti aku menyusul,’ Imani bersuara perlahan kepada Musliha dan Sofia disebelahnya. Mereka sekadar mengangguk dan terus berlalu. Musliha kerap kali menoleh kebelakang memandang Imani yang menunggu Adham datang kepadanya. Hal ini disedari Imani, namun dia sekadar berpura-pura tidak mengetahui.

Ya Adham, ada apa?’ Imani cuba tersenyum sambil memerhatikan Adham berjalan menuju ke arahnya. Resah dalam hatinya pada waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu.

Ni untuk awak. Ikhlas dari saya. Selamat hari lahir,’ ucap Adham ringkas sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Imani dan menghulurkan sebuah hadiah berbalut kemas ke tangannya. Imani terkedu seketika. Namun tangannya tetap mengambil hadiah yang dihulurkan oleh Adham.

Tahun ni kan tahun terakhir study kita. Mungkin ini hadiah pertama dan terakhir dari saya untuk awak, sebab lepas ni kita dah habis belajar dah mungkin takkan jumpa lagi. Harap awak sudi terima,’ kata Adham tersenyum sebelum sempat Imani membuka mulut untuk berkata sesuatu. Tanpa menanti lama, Adham segera menoleh untuk berlalu, walaupun pada ketika itu Imani masih mendiamkan diri kerana masih lagi dalam keadaan terkejut.

Adham! Tunggu dulu!’ Imani segera memanggil setelah melihat Adham bergerak beberapa langkah darinya.

Adham terhenti lalu menoleh kembali ke belakang menghadap Imani.

Terima.. terima kasih. Ta..tapi awak kata ini hadiah awak yang pertama dan terakhir?’ Imani berkata sambil tergagap-gagap. Masih menyusun kata-kata yang sesuai di dalam kepalanya.

Ya,’ Adham berkata sambil menganggukkan kepalanya. Dan dia kembali tersenyum.

Jadi bukan awak yang bagi saya hadiah harijadi pada tahun-tahun yang lepas?’ Imani memberanikan diri untuk bertanya satu soalan yang sudah terlalu lama dipendam dalam benak fikirannya.

Tahun-tahun lepas?’ Adham terdiam sambil berfikir seketika. Namun tidak lama selepas itu, dia tersenyum lebar.

Awak rasa siapa?’ Adham bertanya sambil masih lagi tersenyum. Tanpa sempat menanti tekaan jawapan yang masih lagi bermain-main dalam minda Imani, dia menoleh sambil meneruskan langkahnya. Meninggalkan Imani yang masih terpinga-pinga sendirian di situ.

***

HARI KONVOKESYEN
SEPTEMBER 2011

Sedar tak sedar, sudah empat tahun berlalu sejak kali pertama Imani menjejakkan kaki ke universiti untuk menyambung pembelajarannya. Pada hari bersejarah ini, Imani menyarung jubah dan memakai mortar di kepala, dan disaat itu dia sedang duduk menanti gilirannya untuk menaiki pentas untuk mengambil skrol ijazah daripada Naib Cansellor.

Muhammad Adham bin Abdul Rahim,’ pengacara majlis menyebut nama penuh Adham dan Imani segera mendongak untuk melihat Adham di atas pentas. Adham yang berada di hujung pentas, berjalan sopan ke tengah, menundukkan kepalanya kepada Naib Cansellor dan menerima scroll ijazahnya beserta ucapan terima kasih. Adham yang menjadi antara pelajar terbaik fakultinya, tersenyum sendirian dia atas pentas. Mungkin disebabkan rasa syukur atau bangga dengan pencapaiannya sepanjang semester-semester yang lepas.

Fahim yang juga menjadi antara pelajar yang mendapat CGPA tertinggi dalam kelasnya menyusuli Adham menaiki pentas. Sungguh pada saat itu Imani berasa bangga dengan pencapaian kedua orang rakannya itu. Imani sendiri tidak menyangka, dua orang lelaki pertama yang ditemuinya pada hari pertama di fakulti, rupa-rupanya antara pelajar yang terbaik dalam kelasnya. Imani tersenyum sendiri melihat Fahim juga menerima scroll daripada Naib Cansellor.

Nurul Imani binti Mazlan,’ sebaik sahaja Imani mendengar namanya diumumkan, dia melangkah perlahan menuju kearah Naib Cansellor yang menantinya di tengah pentas. Imani tersenyum walaupun dia tidaklah mendapat keputusan yang cemerlang seperti Adham dan Fahim. Namun Alhamdulillah, Imani tidak pernah gagal dalam subjeknya dan dia mendapat CGPA yang boleh dianggap baik.

Tamat majlis konvokesyen, ribuan pelajar yang terdiri daripada pelbagai fakulti mula memenuhi bahagian luar dewan, menyebabkan Imani menghadapi kesukaran untuk mencari ahli keluarganya dan juga rakan-rakannya. Mujurlah Imani akhirnya bertemu dengan ibu dan ayah serta adiknya, dan setelah mereka bergambar satu keluarga di hadapan dewan, Imani bergerak mencari sahabat-sahabatnya, Musliha dan Sofia.

Imani! Imani! Sini..sini!’ jerit Sofia sebaik sahaja melihat Imani yang masih melilau-lilau mencari kedua orang sahabatnya itu. Musliha sudah berada di sisi Sofia beserta sejambak bunga di tangan. Imani yang mendengar jeritan Sofia terus sahaja menuju kearah mereka sambil tersenyum.

Ha, jumpa pun Imani. Jom sama-sama ambil gambar,’ Musliha berkata lalu tanpa membuang masa, ketiga-tiga mereka menyusun posisi untuk bergambar dengan kamera masing-masing. Sofia dan Musliha yang turut menerima sejambak bunga daripada keluarga masing-masing, tersenyum gembira sambil menunjukkan skroll ijazah yang dimiliki.

Tamat bergambar, Imani yang masih lagi rancak bersembang dengan Sofia dan Musliha, didatangi oleh ibunya.

Imani, ibu rasa kita dah kena balik sekarang. Ayah sakit kepala. Kami tunggu dalam kereta ya,’ kata ibu Imani. Selepas bersalam dengan Musliha dan Sofia, ibu Imani berlalu pergi meninggalkan mereka bertiga.

Well, aku rasa ini lah kali terakhir kita berjumpa sebelum kita masing-masing start kerja kan?’ kata Sofia sambil memandang wajah Imani dan Musliha.

Nampak gayanya macam tu lah kan,’ Musliha bersuara perlahan. Riak wajahnya mula berubah menjadi sedih.

Alah korang ni jangan la sedih-sedih. Lepas ni kita boleh jumpa lagi kan? Nanti kita buat reunion sendiri, korang mesti datang tau,’ kata Imani lalu dia segera memeluk Musliha dan Sofia dengan erat. Berat pula rasanya untuk berpisah menuju haluan masing-masing selepas ini, setelah empat tahun bersama menyokong satu sama lain.

Oklah Sofia, Musliha, aku dah nak kena balik. Kasihan ayah aku tengah sakit tu. Apa-apa kita contact kat facebook ye. Aku tak sempat nak jumpa Adham dengan Fahim. Kalau jumpa diorang cakap aku kirim salam ye,’ Imani berkata sambil tersenyum, lalu dia melambai kedua sahabatnya sebelum berlalu. Musliha dan Sofia membalas lambaiannya sambil tersenyum kembali.

Imani pantas berlalu menuju ke keretanya di tempat parkir kereta yang agak jauh. Disebabkan luar dewan masih agak sesak, agak sukar untuk dia berjalan dengan laju, kerana terpaksa mengelakkan diri daripada orang ramai yang masih berpusu-pusu mengambil gambar di luar dewan. Sambil itu Imani melihat-lihat sekeliling. Di hati kecil, dia sangat berharap untuk melihat Adham sekali untuk kali terakhir sebelum dia pulang. Dapat melihat kelibatnya dari jauh pun cukuplah, luah Imani sendirian.

Pada saat itulah, disaat Imani sedang berjalan dengan laju, Imani terlihat kelibat Adham yang agak jauh daripadanya sedang memandangnya. Imani melihat Adham tersenyum sambil mengangkat tangan dan melambainya.

Imani terasa bahagia. Akhirnya permintaannya untuk bertemu dengan Adham buat kali terakhir dimakbulkan. Imani membalas lambaian Adham sambil tersenyum lebar. Pada saat itu matanya bergenang tanpa disedari. Samada itu air mata kegembiraan atau air mata kesedihan, Imani tidak pasti.

Imani tiba-tiba teringat ayahnya yang sakit. Segera dia menjeling jam tangannya. Sudah hampir 15 minit dia berada di situ. Imani tahu dia harus pergi. Sambil memandang Adham dari jauh dan mengesat air matanya, dia melambai buat kali terakhir sebelum segera berlalu. Imani tidak betah menanti lama di situ. Dia tahu, jika dia berjumpa dengan Adham pada saat itu, hatinya akan menjadi lebih berat untuk meninggalkan Adham.

Adham bersusah payah melalui celah orang ramai untuk bertemu dengan Imani yang baru sebentar tadi dilambainya. Malangnya apabila dia tiba di tempat Imani berdiri sebentar tadi, Imani sudahpun hilang dari pandangan. Adham memerhati sekeliling, namun kelibat Imani tidak dijumpai. Adham terlihat Sofia dan Musliha yang tidak jauh berdekatan, lalu dia menuju ke arah mereka.

Sofia, Musliha, ada nampak Imani? Tadi saya nampak dia kat sini, tapi lepas tu dia hilang,’ Adham bercerita sambil matanya tidak lekang memerhati sekeliling.

Tadi ada, tapi Imani kena balik cepat, sebab ayah dia tak sihat,’ Sofia bercerita membuatkan Adham terdiam seketika.

Imani ada pesan kat kami, dia kirim salam kalau nampak awak atau Fahim,’ kata Musliha pula. Jauh di sudut hati, Adham berasa kecewa kerana tidak sempat bertemu dengan Imani untuk kali terakhir mereka berada di universiti itu.

Selepas selesai bergambar dan berbual dengan Sofia dan Musliha, Adham berjalan seorang diri lalu dia bertemu dengan Fahim.

Ha, jumpa pun kau kat sini Adham. Lama aku cari kau. Eh, ada nampak Imani tak?,’ Fahim yang masih berjubah, berpeluh dahinya dan Adham dapat melihat dua jambak bunga di tangan sahabat baiknya itu.

Imani ada hal tadi, dia dah balik,’ ringkas sahaja dia menjawab pertanyaan Fahim. Serta merta riak wajah Fahim berubah kecewa.

Oh...’ luah Fahim perlahan sambil memandang salah satu daripada dua jambak bunga yang berada di tangannya. Adham yang mengerti perasaan sahabatnya itu, sekadar mendiamkan diri.
***

PLOPPPP!!!’ bunyi kocakan air yang tiba-tiba sahaja kedengaran mengejutkan Imani dari lamunan panjangnya. Imani segera memerhati kearah tasik. Terdapat kanak-kanak yang membaling batu kedalam tasik tersebut. Imani memerhati sekeliling lantas mengerling jam tangannya. Sudah hampir satu jam dia duduk bersendirian mengelamun di situ. Imani bingkas, lalu bergerak laju menuju ke keretanya.

Imani memandu pulang ke rumahnya. Sambil memandu dia tersenyum sendirian, mengenangkan empat orang rakan yang mendapat tempat yang sangat penting dalam kisah hidupnya. Musliha, Sofia, Fahim, dan yang terakhir, Adham, merekalah empat orang insan yang mewarnai kisah hidupnya di universiti. Imani sangat berharap pada suatu hari nanti dia akan dipertemukan kembali dengan mereka berempat. Tidak kisahlah bila-bila, asalkan dapat berjumpa walaupun hanya seketika sudah cukup memadai baginya.

Pada malam itu, Imani menonton televisyen bersama bapanya di ruang tamu, manakala ibu dan adiknya berada di dapur. Ketika Imani sedang khusyuk memandang kaca tv, tiba-tiba ayahnya membuka mulut dan bersuara.

Imani, tadi masa Imani tengah keluar, ayah dapat satu call daripada kawan lama ayah’ ayah Imani bercerita dengan perlahan. Imani yang masih belum menangkap apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya, cuba menumpukan sepenuh perhatian. Dia duduk menghadap ayahnya. Rancangan televisyen yang menarik dilupakannya sebentar.

Kami berbual lama. Dan akhirnya kami bersembang tentang anak-anak. Kawan ayah tu cerita, anak lelaki dia masih bujang. Dan yang buat ayah terkejut, anak lelaki kawan ayah tu ada bagitau yang dia ada hajat untuk memperisterikan Imani’ sambung ayah Imani lagi.

Serta merta mata Imani membulat. Denyutan jantungnya dirasakan bagai terhenti. Apakah benar apa yang baru didengarinya ini? Ada lelaki di luar sana yang berhajat untuk menjadi suaminya??

Ta..tapi ayah, siapa dia? Imani kenal dia ke? Dia kenal Imani?’ Imani yang masih sukar percaya akan apa yang didengarinya bertubi-tubi bertanyakan soalan kepada ayahnya.

Kawan ayah tu cakap anak dia kenal Imani. Lama dah, sejak zaman universiti lagi. Mungkin salah sorang dari kawan Imani agaknya, tapi Imani tak tahu sebab kawan Imani tu tak pernah cerita yang ayah dia kawan dengan ayah,’ terang ayah Imani. Imani sekadar membatukan diri, sambil kepalanya sarat dengan seribu satu persoalan tentang lelaki misteri itu.

Serta merta memori Imani terimbas kembali tentang kenangan-kenangannya sewaktu di universiti dua tahun yang lepas. Dia teringat akan hadiah yang diterima daripada insan misteri pada hari lahirnya selama empat tahun. Apakah insan misteri itu dan lelaki misteri yang berhajat untuk memperisterikannya itu, adalah orang yang sama?

Ayah, siapa nama dia?’ Imani bertanya lagi.

Maaf Imani, ayah tak ingat sangat nama anak kawan ayah tu. Tapi ayah ingat nama dia ada M kat belakang. Ayah dah share hal ni dengan ibu. Esok kawan ayah cakap, anak lelaki dia nak datang sini, nak jumpa dengan ayah dan ibu sekali. Ayah harap Imani dapat pertimbangkan hal ni dengan baik,’ nasihat ayah Imani. Imani masih lagi terdiam membisu.

Sebelum melelapkan mata pada malam itu, Imani dapat merasakan hatinya resah gelisah. Jantungnya dirasakan berdegup amat kencang. Esok dia mungkin akan bertemu dengan bakal suaminya untuk pertama kali. Imani berfikir sendirian.  Siapakah lelaki itu? Yang begitu ‘gentleman’, terus sahaja berjumpa dengan ibu bapanya, dan menggunakan bapanya sendiri sebagai orang tengah untuk menyatakan hajat memperisterikannya? Masih ada lagi rupanya lelaki seperti ini dalam dunia, bisik hati kecil Imani.

Tanpa diminta, wajah Muhammad Adham muncul di fikiran. Hanya Adham sahaja lelaki yang dikenalinya, yang mungkin bersifat ‘gentleman’ seperti itu. Apakah benar Adham sebenarnya lelaki yang diceritakan oleh ayahnya? Mungkinkah selama ini ayah Adham dan ayahnya berkawan baik, cuma perkara ini tidak pernah diketahui sendiri oleh Imani dan Adham?

Tiba-tiba Imani teringat kembali kata-kata ayahnya sebentar tadi.

‘Tapi ayah ingat nama dia ada M kat belakang’ terngiang-ngiang suara ayahnya di telinga Imani.

M? Mungkin Adham??’ getus hati kecil Imani.

Kalau benarlah lelaki itu Adham ya Allah, akulah hambaMu yang paling bertuah dalam dunia ni,’ monolog Imani sendirian sebelum dia melelapkan matanya.

***

Imani sudah siap bertudung dan berbaju kurung. Menurut ayah Imani, rakannya dan anak lelakinya akan datang berkunjung selepas asar. Imani membantu ibunya menyiapkan juadah minum petang, namun hanya Allah yang tahu betapa kuatnya debaran di hatinya, lebih-lebih lagi memikirkan jika lelaki yang bakal berkunjung di rumahnya nanti mungkin adalah Adham.

Assalamualaikum!’ Imani terdengar suara lelaki di luar rumah memberi salam. Imani menarik nafas panjang. Insan yang ditunggu-tunggu sudahpun berada di luar rumah, hanya menunggu untuk dipelawa masuk.

Ha, Fadzil, masuk masuk. Jemput duduk’ kali ini Imani terdengar suara ayahnya menjemput tetamu di luar rumahnya untuk masuk.

Imani, ibu pergi jumpa tetamu, nanti pergi depan bawak air ye,’ ibu Imani berpesan kepada anak gadisnya sebelum dia menyusul belakang suaminya untuk berjumpa dengan para tetamu. Imani sekadar mengangguk.

Imani lalu membancuh air. Sambil itu, dia mengurut dadanya kerana pada saat itu dia dapat merasakan jantungnya berdegup terlalu kencang. Imani langsung tidak berani menjeling ke ruang tamu untuk melihat siapakah lelaki yang dimaksudkan ayahnya semalam, sedangkan ruang dapur dan ruang tamu di rumahnya tidaklah jauh mana. Selepas selesai membancuh air, Imani menyusun cawan di dalam dulang, dan perlahan-lahan menatang dulang tersebut dan membawanya ke ruang tamu.

Imani sekadar menunduk ketika berjalan ke ruang tamu. Dia langsung tidak berani mengangkat kepalanya untuk melihat wajah tetamu yang sedang duduk, kerana dia yakin wajahnya sedang merah menahan malu. Imani yakin semua mata di ruang tamu itu sedang memandangnya yang sedang menuang air ke dalam gelas.

Imani, ni kawan ayah, nama Fadzil,’ Imani terdengar ayahnya bersuara dan dia terus mengangkat muka melihat empunya nama yang dimaksudkan. Imani memandang wajah rakan ayahnya sambil tersenyum. Kemudian matanya dilarikan kepada seorang lelaki muda yang sedang duduk bersebelahan rakan ayahnya itu.

Fahim???!!!’ serta merta nama itu terpacul daripada mulut Imani sebaik sahaja dia melihat wajah itu. Wajah yang amat dikenalinya suatu ketika dulu. Wajah yang sudah dua tahun tidak ditemui. Mata Imani membulat, menandakan betapa terperanjatnya dia apabila melihat wajah itu.

Fahim sekadar tersenyum sambil mengangkat tangannya sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut oleh Imani. Fahim yang kini agak berlainan wajahnya kerana sudah berkumis nipis, masih lagi dapat dicam oleh Imani. Selesai menuangkan air dan menghidangkan juadah, Imani berlalu ke dapur semula.

Saat keluarganya bersama keluarga Fahim sedang asyik berbincang sambil menikmati juadah, sekalipun Imani tidak pergi ke ruang tamu untuk turut serta. Dia merasakan kehadirannya tidak diperlukan dalam perbincangan keluarga itu. Perlahan-lahan Imani bergerak ke luar rumah, lalu dia duduk di buaian, cuba menghilangkan keresahan yang masih bersarang dalam hatinya.

Assalamualaikum Imani,’ Imani terdengar suatu suara memberi salam di belakangnya. Suara milikFahim.

Waalaikumussalam,’ jawab Imani lalu dia segera menoleh kebelakang. Melihatkan Fahim sedang berdiri di belakangnya, Imani segera bangun.

Eh, tak apa, duduklah Imani,’ kata Fahim perlahan. Imani yang masih teragak-agak, menurut sahaja kata Fahim. Lalu dia duduk kembali.

Awak masih terkejut ye? Masih tak percaya saya datang ke sini untuk berjumpa ibu bapa awak?’ Fahim berkata tenang sambil tersenyum. Imani yang pada mulanya tidak berani untuk bertentang mata dengan Fahim, cuba mencari kekuatan itu lalu dia memandang wajah Fahim yang sedang berdiri di hadapannya.

Awak serius nak jadikan saya sebagai isteri awak, Fahim?’ tanya Imani. Dia seakan tidak percaya bahawa rakan sekelasnya dulu kini sedang berada di hadapannya, namun bukan lagi sebagai rakan sekelas, tetapi sebagai seorang bakal suaminya, bakal teman hidupnya.

Saya serius Imani. Saya tak pernah seserius ini. Sudah terlalu lama saya memendam perasaan terhadap awak. Sejak zaman kita belajar dulu. Sudah sampai masanya saya perlu biar awak tahu,’ Fahim berkata dengan lembut. Imani sekadar membatukan diri mendengar kata-kata Fahim.

Masa kita belajar dulu, saya tak tahu yang ayah kita berkawan. Saya baru je dapat tahu baru-baru ni. Dan bila saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mempunyai seorang isteri, saya terus sahaja menyatakan hajat saya untuk memperisterikan awak kepada ayah. Kemudian ayah saya terus hubungi ayah awak,’ terang Fahim lagi. Tidak lepas menatap wajah Imani yang begitu dirinduinya sejak dua tahun yang lalu.

Tapi, kenapa saya, Fahim? Kenapa selepas dua tahun kita terpisah?’ tanya Imani. Dia seakan tidak percaya bahawa rupa-rupanya Fahim sudah lama menaruh perasaan terhadapnya, sama seperti dia memendam perasaan kepada Adham sejak dulu.

Saya tak tahu Imani. Cinta itu boleh datang tiba-tiba tanpa sebab. Tapi saya sedar saya dah sukakan awak sejak tahun pertama lagi kita kat universiti. Saya ambil masa dua tahun untuk cuba menyempurnakan hidup saya sebagai seorang bakal suami. Bila saya yakin saya sudah bersedia, baru saya cari awak. Dan saya rasa bertuah saya tak perlu bersusah payah mencari awak semula selepas dua tahun,’ sambung Fahim lagi. Imani sekadar mendengar tanpa berkata apa-apa.

Awak ingat lagi hadiah yang saya bagi masa hari lahir awak Imani? Sepanjang empat tahun kita kat universiti?’ tanya Fahim lagi. Dia tersenyum kembali. Serta merta wajah Imani berubah. Dia kelihatan sangat terkejut.

Awak.. awak yang bagi rupanya Fahim?’ Imani bertanya dengan wajah yang seakan tidak percaya. Fahim mengangguk. Senyuman di wajahnya semakin melebar. Ternyata usahanya untuk membuat kejutan kepada Imani selama ini rupa-rupanya berhasil.

Saya harap awak suka hadiah-hadiah tu Imani. Maaf sebab selama ni saya berahsia daripada awak,’ Fahim berkata lembut. Kemudian dia dan Imani terdiam seketika. Kedua-duanya masih mencari ayat yang sesuai untuk dibicarakan.

Maaf Fahim. Maaf sebab selama ni saya tak pernah sedar akan perasaan awak pada saya. Kalaulah saya sedar lebih awal...’ Imani berkata perlahan sambil menunduk.

Fahim yang sedari tadi berdiri tiba-tiba melutut di hadapan Imani. Menyebabkan Imani yang mennunduk segera mengangkat kepalanya. Mata dia dan Fahim bertentang. Serta merta lidah Imani menjadi kelu. Debaran di dadanya dirasakan kembali.

Tak apa, Imani. Saya yang buat keputusan untuk menjadikan ia rahsia, kerana masa tu saya tahu, saya dan awak sama-sama tak bersedia. Namun pada kali ini, saya benar-benar sudah bersedia, dan saya harap awak sudi terima saya untuk menjadi teman hidup awak,’ lembut dan perlahan sahaja tutur kata Fahim, menyebabkan Imani terasa begitu terharu. Tak pernah dia menyedari Fahim yang dikenalinya semasa di universiti dulu, rupa-rupanya seorang lelaki ‘gentleman’ yang tidak pernah dia sedari selama ini.

Saya tak akan memaksa awak Imani. Saya berharap awak boleh mempertimbangkan hajat saya. Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan, saya akan sentiasa berada di sini menanti jawapan awak,’ Fahim yang sedar Imani masih mendiamkan diri cuba menenangkan hati gadis itu. Kemudian dia bangun lalu masuk kembali kedalam rumah, meninggalkan Imani keseorangan di buaian tersebut.

***

Assalamualaikum Warahmatullah,’ Imani memberi salam ke kanan, kemudian ke kiri. Selepas itu, dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya.

Pada jam 3.00 pagi itu, disaat seisi keluarganya senang enak diulit mimpi, Imani bangun bagi mendirikan solat istikharah. Imani menadah tangannya, lalu berdoa dengan suara yang perlahan dan hanya sayup-sayup kedengaran di telinganya sendiri.

Ya Allah, andai selama ini Kau memang menciptakan Fahim untuk menjadi teman hidupku, Kau berikanlah aku petunjuk Ya Allah. Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerima dia Ya Allah. Perasaan yang ksuimpan selama ini terhadap Adham, Kau buangkanlah semuanya Ya Allah, supaya aku dapat memberi ruang dalam hatiku hanya untuk Fahim. Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan yang Maha Mengetahui, dan Kau tahu apa yang terbaik untukku. Amin amin ya Rabbal Alamin,’ Imani meraup wajahnya. Kemudian dengan keadaan yang masih bertelekung, dia berbaring di atas sejadah. Imani memejam matanya dan tanpa disedari, dia tertidur.

Pada pagi itu, Imani bermimpi. Dia sedang berjalan keseorangan di sebuah tempat yang sunyi. Dia cuba berjalan sejauh yang mungkin, mencari-ceri sesiapa yang dikenalinya di situ. Malangnya tiada seorang pun manusia di situ melainkan dirinya. Lama kelamaan, Imani mula berasa letih, lalu dia terduduk kepenatan.

Pada saat itulah, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang samar-samar wajahnya, berdiri di hadapannya. Imani terperanjat bukan kepalang. Lelaki itu menghulurkan tangannya, meminta Imani kembali bangkit. Imani teragak-agak, namun kerana terlalu penat, dia menyambut huluran tangan lelaki itu.

Sebaik sahaja Imani bangkit, wajahnya betul-betul menghadap wajah lelaki yang membantunya itu. Wajah lelaki itu begitu dikenalinya. Wajah Fahim. Fahim tersenyum manis sebelum berjalan berpimpinan tangan dengan Imani ke suatu tempat. Imani sekadar menuruti sahaja langkah Fahim tanpa banyak kata.

Akhirnya mereka tiba di sebuah tempat yang indah. Imani terkesima lalu memandang pemandangaan di situ dengan penuh kagum. Tangan Imani dan Fahim masih lagi berpegangan. Tiba- tiba sahaja Imani merasakan sebelah lagi tangannya dipegang oleh seseorang. Imani segera menoleh ke kirinya. Adham berada di sebelahnya, sambil tersenyum juga.

Imani terperanjat, namun sekadar membiarkan kedua belah tangannya dipegang oleh kedua orang lelaki tersebut. Adham yang baru sahaja tiba, memandang wajah Imani dan Fahim bersilih ganti. Fahim membalas kembali senyuman sahabatnya itu.

Allahuakbar.. Allahuakbar!!’ suara azan subuh berkumandang, segera membangkitkan Imani dari lenanya. Imani segera duduk lalu cuba mengingati kembali mimpinya. Dia teringat bahawa dia berpegangan tangan dengan Fahim, kemudian disertai dengan Adham pula.

Astaghfirullahalazim... apa yang aku mimpi tadi Ya Allah?’ Imani bermonolog sendirian sambil meraup wajahnya. Dia tidak mengerti apakah mimpi itu merupakan petunjuk, atau mimpi itu hadir disebabkan rasa kelirunya terhadap dua lelaki, iaitu Fahim dan Adham. Imani segera menanggalkan telekungnya, lalu dia menuju ke tandas untuk mengambil wudhu’. Usai bersolat subuh, dia berdoa kehadrat Ilahi sekali lagi.

***

Imani sedang duduk di mejanya, membelek2 beberapa dokumen di pejabatnya  pada waktu petang, disaat telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej masuk. Imani menghentikan kerjanya seketika lalu membaca mesej yang dihantar kepadanya.

Salam Imani. Imani sihat? Dh sebulan lebih brlalu sjak kita jumpa dulu. Awk dah ada jwapan? Kalau belum xpe, sy sudi tggu lagi :) – Fahim’

Imani terdiam seketika membaca mesej itu. Pada saat itu juga Imani terkenang kembali mimpi-mimpi dalam tidurnya. Tiga hari berturut Imani melakukan solat istikharah, dan tiga malam itulah Imani bermimpi perkara yang sama. Fahim lelaki pertama yang memipin tangannya, kemudian disusuli oleh Adham. Imani masih tidak mengerti. Apakah maksud mimpinya yang dirasakan sungguh pelik itu? Bagaimana kedua-dua lelaki boleh muncul dalam mimpi yang sama?

Aku mimpi kedua-duanya sekali. Fahim dan Adham. Yang mana patut aku pilih Ya Allah?’ Imani gumam sendirian sambil menyandarkan kepalanya di kerusi. Dia tidak terus membalas mesej Fahim. Imani berfikir sedalam-dalamnya akan mimpinya yang ganjil itu.

Tapi Fahim yang pertama memimpin tanganku. Mungkin Adham muncul kemudian kerana hati aku masih belum bersedia untuk melepaskan dia sepenuhnya,’ Imani membuat kesimpulan sendiri. Sambil itu dia membaca mesej Fahim berulang kali.

Hampir setengah jam Imani termenung memikirkan apakah jawapan yang paling sesuai untuk dimesejkan kepada Fahim. Sudah sebulan Fahim menanti, dia tidak mahu mensia-siakan penantian lelaki itu, yang nampaknya begitu ikhlas mencintai dirinya.  Akhirnya Imani membuat keputusan terakhir. Kali ini dia tekad.

Wasalam Fahim. Alhamdulillah sy sihat. Sy dah buat keputusan, sy terima lamaran awk. Terima kasih krn sudi menanti sy begitu lama :)’ Imani menaip di skrin telefon bimbitnya. Lama dia membaca mesej itu berulang kali. Jarinya masih teragak-agak untuk menekan butang ’send’. Dia tahu, jika dia telah menghantar mesej itu kepada Fahim, dia tidak boleh berpatah balik.

Ya Allah, semoga keputusan yang aku buat ini betul. Semoga petunjuk yang Kau berikan dalam mimpiku adalah benar,’ Imani berkata perlahan, dan akhirnya Imani menekan butang ‘send’ itu.

Mungkin dah sampai masanya aku melupakan kau Adham, dan belajar mencintai bakal suamiku ini. Selamat tinggal Adham,’ luah Imani lagi, sambil melihat skrin telefon bimbitnya tertera perkataan ‘message sent’. Imani menanti jawapan Fahim dengan hati yang penuh debaran.

Telefon bimbit Imani berbunyi lagi. Imani segera membuka mesej yang diterima.

Terima kasih Imani, krn sudi terima sy. Hanya Allah yg tahu betapa gembiranya sy skrg ni. Sy janji, sy takkan sia2kan awk selepas ini :)’ Imani membaca mesej daripada Fahim itu. Imani dapat merasakan Fahim begitu gembira pada saat itu, walaupun dia sekadar membaca mesej tanpa melihat reaksi Fahim.

Tanpa disedari oleh Imani sendiri, bibirnya menguntum senyuman. Tersenyum kerana mungkin sinar bahagia yang dicarinya selama ini sudah hampir ditemui dan dimiliki.

***

Selepas Imani membuat keputusan untuk menerima lamaran Fahim, dia berkongsi berita ini dengan keluarganya. Ternyata ibu dan bapanya sungguh gembira dengan keputusan Imani. Ibunya gembira kerana dia bakal mempunyai seorang menantu, dan Imani tidak lagi bersendirian selepas ini. Ayah Imani gembira kerana dirinya bakal berbesan dengan sahabat lamanya sendiri. Melihatkan betapa gembiranya insan-insan yang disayanginya menerima berita itu, Imani yakin, bahawa keputusan yang dibuatnya adalah betul. Imani tidak boleh berhenti senyum.

Mendengarkan keputusan Imani yang bersetuju untuk menjadi isterinya, tidak lama selepas itu, Fahim bersama seisi keluarganya datang sekali lagi ke rumah Imani, beserta rombongan meminang. Keluarga Imani menerima kehadiran rombongan itu dengan gembira sekali. Kedua-dua belah pihak itu juga berbincang untuk mengadakan majlis pertunangan dengan segera. Imani yang sekadar menjeling kelibat Fahim dari jauh, dapat melihat sinar kebahagiaan jelas terpancar di wajah bakal suaminya itu. Fahim yang akhirnya menyedari Imani sedang merenungnya dari jauh, tersenyum kembali kepadanya. Imani yang malu sendirian apabila melihat Fahim yang tersenyum, segera menundukkan muka menahan malu.

Pada suatu hari, Imani dan Fahim menikmati makan tengahari bersama di sebuah restoran buat pertama kali. Mereka juga berhajat untuk berbincang tentang majlis pertunangan yang bakal diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Fahim, kalau saya jemput Musliha dan Sofia, boleh kan? Sudah dua tahun juga saya dah tak jumpa mereka,’ Imani berkata kepada Fahim yang sedang menyedut minuman.

Sudah tentu boleh, Imani. Majlis pertunangan kecil-kecil macam kita nak buat ni tak apa kalau jemput kawan-kawan rapat. Tapi kalau nak jemput satu sekolah, satu universiti, yang tu kita tunggu masjlis perkahwinan kita nanti ye. Yang tu kita buat grand punya,’ Fahim berkata ceria, membuatkan Imani tertawa kecil. Masih ada sifat Fahim yang kelakar yang tidak pernah berubah, luah Imani di hati kecilnya.

Oh ye Fahim. Awak tak jemput Adham, kawan baik awak dulu tu?’ Entah mengapa, Imani mendapat kekuatan untuk bertanyakan kepada Fahim tentang insan yang begitu lama dirinduinya itu. Imani dapat merasakan jantungnya berdegup laju saat bibirnya menuturkan nama Adham, namun dia cuba menyembunyikan perasaannya itu, dengan harapan Fahim tidak menyedarinya.

Kalau awak nak tahu Imani, lepas kita habis belajar dulu, sekalipun saya tak dapat contact Adham. Last jumpa masa majlis konvo dulu la. Lepas tu bila saya call dia, dia tak jawab. Hantar surat ikut alamat dalam yearbook kita tu, tak berbalas. Mungkin dia tukar nombor dengan alamat. Dah ada kehidupan baru agaknya,’ terang Fahim yang juga kelihatan merindui sahabat lamanya itu. Imani terdiam. Nampaknya Fahim juga sudah terputus hubungan dengan Adham. Buat apa dia perlu menanti lagi lelaki itu yang sudah begitu lama hilang? gumam Imani dalam hati.

Imani, lepas kita bertunang nanti, saya ingat nak adakan majlis perkahwinan secepat yang mungkin. Saya taknak bertunang lama-lama. Awak setuju ke?’ Lembut sahaja Fahim menyatakan hajatnya.

Saya setuju. Memang tak elok kan bertunang lama-lama. Kita bertunang sebulan je cukuplah’ Imani berkata sambil menyuap makanannya.

Kalau macamtu, apa kata tarikh nikah kita tetapkan 10 Oktober? Masa tu hari lahir awak,’ Fahim berkata sambil tersenyum. Imani terdiam seketika. Memang benar, lebih kurang sebulan selepas tarikh pertunangan mereka, adalah hari lahirnya. Bagaimana dia boleh terlupa hal itu?

Awak ni Fahim. Tak pernah lupa hari lahir saya kan?’ Imani tersenyum. Dia terharu dengan lelaki di hadapannya ini yang tidak pernah lupa akan tarikh lahirnya.

Mana mungkin saya lupa. Dulu tiap-tiap tahun saya akan ingat tarikh tu. Sehari sebelum tarikh tu saya dah siap-siap carikan hadiah birthday untuk awak,’ kata Fahim lagi, menyebabkan bibir Imani mengukir senyuman. Saat itu juga dia dan Fahim mengenang kembali memori lama.

Saya tak pernah ucap terima kasih kan Fahim? Sebab saya tak pernah tahu siapa insan misteri tu. Sekarang saya dah tahu awaklah orangnya, jadi saya nak ucap terima kasih banyak-banyak, untuk hadiah sepanjang empat tahun tu,’ Imani mengucapkan terima kasih dengan senyuman yang tak lekang di bibir.

Sama-sama sayang,’ Fahim tersenyum nakal menyebabkan Imani terkedu seketika mendengar perkataan terakhir yang diucapkan Fahim itu. Fahim yang menyedari reaksi wajah Imani segera berubah, hanya ketawa kecil. Imani mula merasakan wajahnya mula memerah menahan malu, namun bibirnya tetap mengukir senyum untuk Fahim.

***

Sehari sebelum tibanya hari pernikahan Imani dan Fahim, Imani dapat merasakan denyutan jantungnya kerap kali tidak menentu. Kadangkala laju disebabkan gembira dan teruja, kadangkala gementar mengenangkan bahawa dia bakal bergelar isteri orang pada hari esok. Imani dan Fahim bakal disatukan di masjid berhampiran rumahnya pada esok hari, dan pada pagi itu Imani agak sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis pernikahannya, dibantu oleh ibu dan saudara-saudara terdekatnya.

Imani, ada posmen datang bawak bungkusan. Imani kena sign,’ laung ayah Imani dari ruang tamu. Imani segera bangkit lalu memakai tudung dan menuju ke pagar rumah.

Bungkusan dari Australia? Siapa yang bagi?’ gumam Imani sebaik sahaja dia melihat alamat pengirim yang tertera di luar bungkusan itu. Selesai menandatangani dokumen yang perlu, Imani membawa bungkusan kecil itu ke dalam rumah.

Eh, cepatnya dapat hadiah kahwin ye,’ usik makcik Imani yang terlihat Imani membawa bungkusan kecil itu kedalam rumah. Imani sekadar tersenyum kecil lalu membawa bungkusan itu masuk ke dalam biliknya.

Imani lalu meletakkan bungkusan itu di atas mejanya, lalu dia keluar semula untuk menyambung kerjanya yang tertunda sebentar tadi.

Pada malam itu, lebih kurang jam sepuluh malam, Imani yang sudah selesai menyiapkan persiapan terakhir, masuk ke dalam biliknya untuk berehat. Ketika dia berbaring di atas katilnya, telefon bimbitnya berbunyi. Imani segera mengambil telefonnya dan membaca mesej yang baru masuk.

Imani dah nak tidur? Nervous?’ pendek sahaja mesej yang dikirim Fahim. Imani segera tersenyum membaca mesej itu.

Nervous la juga sbnrnya. Hrp2 majlis esok berjln lancar,’ Imani menaip lalu menekan ‘send’.

Takmau nervous2 ye. InsyaAllah esok smua ok. Gudnite dear. Jumpa esok :)’ laju sahaja Fahim membalas mesejnya.

InsyaAllah. Slamat malam,’ balas Imani sebelum dia meletakkan kembali telefon bimbitnya di sisi katilnya. Pada saat itulah matanya terus tertumpu ke arah bungkusan yang lama terletak di atas mejanya sejak siang tadi. Serta merta Imani menepuk dahi.

Ya Allah, macam mana aku boleh lupa?’ omel Imani lalu dia segera mengambil bungkusan itu dan meletakkannya di birai katil.

Perlahan-lahan Imani mengoyak pembalut bungkusan itu, dan di dalam bungkusan itu terdapat sebuah hadiah berbalut cantik. Imani membuka pembalut hadiah itu dan terdapat sebuah kotak lain di dalamnya. Imani mengangkat kening, tanda kehairanan.

Dan di dalam kotak itu, Imani melihat terdapat sebuah kotak kecil, dan sehelai kertas yang dilipat kemas. Keliru untuk mengambil yang mana satu, Imani memilih untuk mengambil kertas itu terlebih dahulu. Imani lalu membuka lipatan kertas itu, dan mula membaca ayat-ayat yang tertera di atasnya.

Khas buat Nurul Imani binti Mazlan. Assalamualaikum WBT....

Imani apa khabar? Lama sungguh kita tak mendengar khabar berita satu sama lain kan? Hampir dua tahun lamanya. Maafkan saya sebab langsung tak contact awak lepas kita tamat belajar. Tamat sahaja pengajian, saya terpaksa berhijrah ke Melbourne, Australia kerana menemani keluarga saya ke sana. Bapa saya sakit dan mendapat rawatan susulan di sana. Di samping itu, saya juga menyambung pelajaran saya di sana ke peringkat Master.

Maaf juga atas kehadiran hadiah yang datang tiba-tiba tanpa diundang ini. Saya tahu hari lahir awak esok hari, tapi saya sengaja hantar hadiah hari jadi awak lebih awal. Nasib baik saya masih simpan yearbook batch kita dulu, dapatlah saya kirim hadiah ini kepada awak. Hadiah awak ada dalam kotak kecil sekali dalam bungkusan ni, nanti awak buka ye. Saya harap awak suka :)

Pada hari lahir awak yang ke 25 ni Imani, saya rasa sudah sampai masanya saya berterus terang dengan awak tentang rahsia yang sudah terlalu lama saya pendam selama ini. Saya sebenarnya sangat menyayngi awak Imani, bermula dari hari pertama kita berjumpa di fakulti pada enam tahun yang lepas. Sudah lama saya memendam perasaan ini dan menanti masa yang sesuai untuk memberitahu awak, malangnya saya tak boleh berterus terang dulu kerana saya akhirnya sedar, bahawa sahabat saya Fahim juga sukakan awak. Dan saya tak mampu untuk melukakan hati sahabat saya itu.

Lagipun pada waktu itu kita sedang sibuk belajar, dan ditambah lagi dengan penyakit ayah saya yang semakin serius, saya melupakan seketika hajat saya untuk berterus terang dengan awak. Namun sekalipun saya tak pernah buang perasaan dalam hati saya ini untuk awak Imani, kerana jauh di sudut hati saya dapat merasaakan yang awak juga berperasaan sama seperti saya. Saya dapat lihat melalui sinar mata awak. Betulkah Imani?

Setelah berusaha selama dua tahun mempersiapkan diri, saya kini yakin Imani, untuk berterus terang dengan awak dan menyatakan impian saya untuk menyunting awak sebagai bakal isteri saya. Andai awak sudahpun berpunya, beritahulah saya, dan saya akan mengundur diri. Tetapi jika belum, berilah peluang kepada saya untuk memiliki awak secara sah. Sungguh saya sangat berharap Imani, bahawa saya belum terlambat.

Saya masih lagi berada di Australia, dan akan kembali ke Malaysia pada bulan depan. Dalam surat ini saya sertakan alamat email saya, saya harap awak dapat memberikan jawapan melalui email itu. Maaf sekali lagi Imani jika kehadiran surat dan hadiah ini membuatkan awak terkejut, tapi saya nak awak tahu sepanjang enam tahun ini, tak pernah sekalipun perasaan sayang saya terhadap awak berubah. Dan saya akan setia di sini menanti jawapan awak.

Yang menyayangimu,
Muhammad Adham Abdul Rahim

Imani jatuh terjelepok ke lantai sebaik sahaja tamat membaca surat itu. Air matanya jatuh mencurah-curah pada saat itu juga, malah lebih deras setelah melihat nama Adham di akhir surat itu. Kenapa Ya Allah, kenapa surat ini harus tiba pada malam pernikahannya? Kenapa tidak setahun yang lepas? Imani terus-terusan menangis mengenangkan nasibnya.

Rupa-rupanya selama enam tahun ini dia tidak bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanya selama ini Adham juga menyimpan perasaan yang sama terhadap dirinya. Namun Allah telah mentakdirkan, bahawa rahsia itu tersimpan kemas antara Imani dan Adham sendiri sehinggalah tiba hari pernikahannya dengan Fahim. Imani menangis lagi sambil membuka kotak kecil yang mengandungi hadiah hari lahirnya itu. Seutas rantai putih yang cantik berada di dalam kotak kecil itu. Imani lalu mengeluarkannya dan meletakkannya rapat ke hatinya.

Kenapa Adham? Kenapa baru sekarang?’ luah Imani yang masih tersedu sedan dalam esak tangisnya. Pada saat itu juga, Imani bangkit lalu membuka komputer ribanya. Dia perlu menjawab persoalan Adham melalui email pada malam itu juga.


Salam Adham,

Adham, saya sudah terima hadiah awak. Dan memang benar kata awak Adham, saya memang sudah terlalu lama sukakan awak, sejak kali pertama kita berjumpa dulu, sehinggalah pada saat ini, perasaan itu tidak pernah hilang. Tapi awak dah terlambat Adham. Terlalu lambat. Saya akan bernikah dengan sahabat awak, Fahim pada esok hari. Maafkan saya kerana tidak dapat memberikan jawapan yang awak inginkan, walaupun jauh di sudut hati, saya ingin sangat berkata ‘ya’.

Semoga awak dapat berjumpa dengan pengganti saya yang lebih baik.

NURUL IMANI


Imani menangis teresak-esak lagi. Hatinya berasa sedih, sakit, kecewa, marah. Sedih dan kecewa bukan kepalang kerana impiannya selama ini untuk menyulam cinta dengan Adham tidak dapat direalisasikan, hanya kerana kedua-duanya sudah terlambat. Sakit hati dan marah dengan takdir yang selama ini menyembunyikan rahsia hati ini daripada pengetahuannya dan Adham terlalu lama. Imani membelek rantai putih yang diterimanya itu. Ingin sekali dikalungkan rantai itu ke lehernya tetapi dia tidak betah. Hatinya menangis lagi.

Imani menjeling skrin komputer ribanya. Matanya buntang setelah melihat ada satu email baru diterimanya. Imani yakin Adham yang menghantar email itu. Imani segera duduk di mejanya dan membaca email baru itu.


Wassalam Imani,

Sungguh Imani, hanya Allah yang tahu betapa ralatnya dan remuknya hati saya rasa sekarang kerana terlambat berterus terang dengan awak tentang isi hati saya. Disebabkan kelewatan ini, saya kehilangan awak kepada sahabat baik saya sendiri. Kalaulah masa itu boleh diputarkan kembali Imani, saya pasti berterus terang dengan awak lebih awal. Bukan pada waktu sehari sebelum hari pernikahan awak.

Mungkin sudah tertulis Imani, Allah tidak menciptakan kita untuk satu sama lain, walaupun hakikatnya kita sangat saling menyayangi sejak dulu lagi. Allah itu Maha Mengetahui, pasti ada sebabnya kenapa kita tak ditakdirkan bersama. Saya berharap awak gembira menjalani kehidupan baru bersama Fahim. Anggaplah apa yang telah saya luahkan itu tak pernah berlaku.

Selamat pengantin baru Imani. Semoga bahagia hingga akhir hayat. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak dan Fahim. InsyaAllah.

MUHAMMAD ADHAM


Imani menangis lagi. Dan dia yakin Adham di sana turut sama menangis sepertinya.Tidak menyangka dua hati yang selama ini menyayangi dan merindui satu sama lain terpaksa berpisah disebabkan masa yang sudah terlalu lewat. Kalaulah.. kalaulah.. semua ini tejadi lebih awal, berulang-ulang kali Imani menekankan ayat iu dalam lubuk hatinya. Namun itu semua tak akan berlaku. Hakikatnya, pada esok hari, dia akan sah menjadi seorang isteri kepada Ahmad Fahim Fadzil. Sebaik sahaja Fahim selamat melafaz akad, dia akan menjadi milik mutlak Fahim, dan itu bermakna dia sudahpun kehilangan Adham. Mungkin untuk selama-lamanya.

Imani, Imani okey ke? Kenapa ibu dengar Imani macam menangis?’ Imani terdengar suara ibunya di luar sambil mengetuk pintu biliknya. Imani segera mengesat air matanya. Suaranya yang serak itu cuba dilindungi sebaik mungkin.

Imani okey ibu. Dah nak tidur dah. Selamat malam. Assalamualaikum,’ ringkas Imani menjawab kemudian dia segera memadamkan lampu. Dalam kegelapan malam itu, Imani tidur tersendu-sendu ditemani air mata yang tidak henti-henti mengalir dari matanya, dan tangannya menggenggam erat surat dan rantai yang dikirimkan oleh Adham. Hari pernikahannya esok sudah tidak lagi mendapat tempat dalam hati dan fikirannya. Yang ada di hatinya, cuma Adham.

***

Pada pagi hari pernikahannya, Imani bangkit dari tidur dengan mata yang bengkak dan merah. Keadaan matanya itu disedari oleh ibunya dan sesiapa juga yang memandang. Apabila ditanya oleh orang ramai, Imani sekadar menjawab ‘tidak dapat tidur malam tadi’, kemudian Imani meneruskan persiapan saat-saat akhirnya seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi semalam. Sedangkan pada saat itu hanya Allah sahaja yang tahu tentang hatinya yang dirundung hiba tanpa henti sejak malam tadi.

Surat dan hadiah yang dikirim oleh Adham, disimpan Imani elok-elok diatas almarinya. Selepas berkahwin dengan Fahim, Imani akan berhijrah ke tempat baru mengikut suaminya. Biarlah surat dan hadiah itu bersemadi di situ, tanpa perlu dibawa ke tempat baru, fikir Imani.

Saat Imani melihat bilik tidurnya sudah dihias dengan cadar dan birai yang cantik, hatinya kosong tanpa sebarang perasaan. Saat dia mengenakan baju pernikahannya yang berwarna putih, perasaannya hiba sekali lagi. Apabila wajahnya disolek Mak Andam, Imani sedikitpun tidak tersenyum dan dia hanya menundukkan wajah hampir setiap masa. Jenuh sudah Mak Andam meminta Imani mengangkat kepala. Dia cuba untuk menyolekkan mata Imani dan menyembunyikan kesan bengkak itu, namun apabila Imani mengangkat wajahnya untuk disolek, wajahnya dibiarkan sugul. Sepatah ditanya, sepatah dijawab oleh Imani.

Di masjid, Imani duduk sahaja mendiamkan diri disaat menanti ketibaan orang ramai yang hadir menyaksikan majlis pernikahannya. Dia terlihat Musliha dan Sofia yang begitu gembira dan teruja melambai kepadanya, namun Imani sekadar tersenyum kelat dan melambai lemah. Saat pertama kali Imani bertentangan mata dengan Fahim pada hari itu, Fahim tersenyum manis kepadanya, namun Imani membalasnya ringkas lalu menghala pandangannya ke tempat lain.

Aku nikahkan dikau dengan anak gadisku Nurul Imani binti Mazlan dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai,’ Imani segera tersedar dari lamunan sebaik sahaja dia mendengar suara ayahnya bergema dalam seisi masjid melalui mikrofon. Dengan penuh debaran, Imani menanti lafaz nikah yang bakal diucapkan oleh Fahim sebentar lagi.

Aku terima nikahnya Nurul Imani binti Mazlan dengan mas kahwinnya seratus ringgit, tunai,’ dengan jelas dan yakin Fahim mengucapkan lafaz akad nikah itu dengan sekali lafaz. Dan setelah disambut dengan ‘sah’ oleh jemaah lain, Fahim meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya, tanda bersyukur yang amat sangat pada hari itu. Gadis yang begitu lama dicintainya, kini sudah sah menjadi miliknya. Fahim segera menoleh kebelakang memandang Imani. Imani tersenyum kembali kepadanya dengan deraian air mata. Sangka Fahim, Imani menangis kegembiraan, namun pada Imani, dia menangis kesedihan kerana dia sudah sah menjadi milik lelaki yang tidak pernah dicintainya.

Selesai majlis akad nikah dan majlis pembatalan air sembahyang, Imani sedaya upaya cuba menyembunyikan kesedihannya dengan mengukir senyuman palsu kepada Fahim dan seluruh hadirin yang ada. Saat Fahim mengucup dahinya buat pertama kali, langsung tiada rasa bahagia dirasai di hatinya. Sekali sekala Imani menjeling wajah Fahim, suaminya kini yang begitu gembira dan jelas terpancar sinar bahagia di wajah itu. Dan pada hari itu, seluruh majlis berlangsung dengan baik dan meriah, meskipun Imani  dapat merasakan fikirannya melayang, hatinya kosong dan dia langsung tidak berasa gembira pada hari itu.

Pada malam itu, Imani awal-awal sudah masuk ke dalam biliknya. Dia memakai baju tidur, dan rambutnya yang panjang mengurai itu sudah tersikat rapi dan dibiarkan terlepas. Dia hanya duduk di birai katil, menanti suaminya untuk masuk ke dalam bilik.

Assalamualaikum,’ lembut sahaja Fahim meberi salam. Lalu dia masuk kedalam bilik dengan berbaju melayu sahaja. Samping dan tanjak yang dipakainya siang tadi awal-awal sudah ditanggalkan.

Waalaikumussalam,’ jawab Imani ringkas. Dia sekadar memandang suaminya itu dengan ekor matanya. Fahim sekadar tersenyum dan perlahan-lahan dia duduk di sisi Imani dan menatap wajah isteri kesayangannya itu lama-lama. Imani yang agak terkejut dengan tindakan Fahim secara tiba-tiba itu, menelan air liur. Hatinya tiba-tiba berasa gementar.

Subhanallah. Cantik sungguh isteri abang ni. Bertuah abang ada isteri secantik Imani,’ Fahim berkata, tersenyum sambil tangannya mebelai rambut panjang Imani. Kemudian dia memegang pipi Imani lembut, meyebabkan Imani mula berasa malu. Imani dapat merasakan darah sudah menyirap naik ke mukanya, lalu dia sekadar menunduk.

Abang mandi dulu ye. Panaslah,’ kata Fahim lalu dia bangkit mengambil tuala yang terlipat lalu menuju ke bilik air. Imani yang masih diam membatu mengurut-ngurut dadanya. Dirasakan jantungnya berdegup kencang pada waktu itu.

Usai Fahim mandi, dia keluar dari bilik air. Dia melihat isterinya sudah terlena di sisi katil. Serta merta timbul rasa kasihan dalam dirinya. Lalu Fahim duduk di sisi Imani. Direnung sekali lagi wajah isterinya yang sedang terlena itu.

Kasihan Imani. Mesti dia penat sangat ni,’ bisik Fahim perlahan sambil membelai rambut Imani lembut. Lalu Fahim mengambil selimut lalu dia menyelimutkan Imani. Pada waktu itu, Imani lantas terjaga dari tidurnya, lalu dia terus duduk menghadap Fahim.

A.. abang... maaf, Imani terlelap,’ kata Imani sambil terpisat-pisat.

Tak apa sayang, sambunglah tidur. Abang pun nak tidur juga. Penat kan,’ Fahim berkata lembut sambil memerhatikan sahaja Imani menggosok-gosok matanya. Comel sungguh Imani pada saat itu, bisik hati kecilnya.

Abang...Imani ada sesuatu nak cakap dengan abang,’ Imani yang sudah segar kembali memandang wajah suaminya dengan serius. Melihatkan wajah Imani mula bertukar nada, Fahim lalu duduk menghadap isterinya itu.

Imani, Imani nak minta maaf. Imani rasa perkahwinan kita ni terlalu cepat. Imani minta abang berikan Imani sedikit masa untuk belajar menyesuaikan diri untuk menjadi seorang isteri. Imani juga perlukan lebih masa untuk mencintai abang sepenuh hati Imani,’ perlahan sahaja Imani bertutur, namun dapat ditangkap oleh telinga Fahim. Fahim dengan cepat mengerti maksud Imani yang masih belum bersedia itu. Takut melihat reaksi suaminya itu, Imani menundukkan kepalanya lagi.

Sebab tu la sejak siang tadi Imani risau ye? senyum pun terpaksa je kan? Tak apa sayang, abang faham,’ Fahim berkata dengan lembut. Imani mengangkat kepala perlahan-lahan dan memandang wajah suaminya.

Mana.. mana abang tahu tadi Imani senyum terpaksa?’ tanya Imani lagi, ingin tahu.

Abang dah pernah tengok Imani senyum macam tu sejak zaman universiti lagi. Lupa?’ Fahim berkata sambil tersenyum. Serta merta memori Imani terimbas kembali saat Fahim menegurnya di hadapan perpustakaan. Dan bagaimana Fahim berjenaka bagi membuatkan dia tersenyum kembali. Tanpa disedari, perlahan-lahan bibir Imani mengukir senyum.

Ha, macam ni la baru senyum ikhlas. Tak apa, Imani ambillah seberapa banyak masa yang Imani perlukan untuk menyesuaikan diri. Abang tak akan paksa, abang faham. Apabila Imani dah bersetuju menjadi isteri abang, dah tak ada apa lagi yang abang inginkan dalam hidup ni. Dapat menjadi suami yang sah untuk Imani, pada abang itu sudah cukup memadai,’ lembut sahaja tutur kata Fahim, menyebabkan Imani terasa ada air bergenang di kelopak matanya. Sungguh pada saat itu Imani terasa bersalah yang amat sangat. Rasa bersalah disebabkan dirinya gagal mencintai suaminya itu dan masih mencintai lelaki lain yang bukan miliknya. Perlahan-lahan Imani menyeka air matanya itu tanpa disedari oleh Fahim.

Terima kasih abang, kerana memahami Imani,’ Imani berkata perlahan sambil memandang tepat wajah Fahim. Fahim tersenyum lagi.

Dah lambat ni. Jom tidur. Esok pagi nak buat sarapan untuk abang kan?’ kata Fahim lalu Imani segera mengangguk. Dia bangkit lalu memadamkan lampu. Imani kemudian naik ke atas katil dan mengambil tempat di sebelah suaminya.

Pada malam itu, Imani dan Fahim tidur menghadap satu sama lain. Fahim tidur sambil memegang tangan Imani. Imani terkenang kembali mimpinya, dimana Fahim memegang tangannya, sama seperti malam itu. Dan dalam kesamaran malam ditemani cahaya bulan, Imani dapat melihat Fahim tersenyum dalam tidurnya. Tersenyum bahagia kerana setelah sekian lama menanti, Imani akhirnya ditakdirkan menjadi miliknya.

Maafkan Imani, abang. Maaf kerana Imani masih mencintai lelaki lain,’ bisik Imani perlahan, lalu dia memejam mata dan turut terlena.

***

Sudah hampir sebulan Imani dan Fahim menjalani hidup sebagai pasangan suami Isteri. Mereka juga sudah berpindah ke sebuah rumah yang dibeli oleh Fahim di Kuala Lumpur. Meskipun tiada rasa cinta dalam hati Imani untuk Fahim, namun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Pada setiap pagi, Imani akan mengejutkan Fahim dari tidur, dan mereka akan bersolat subuh berjemaah. Imani kemudian akan menyediakan sarapan pagi untuk suaminya, dan sebelum masing-masing bergerak ke pejabat, Imani akan mencium tangan suaminya, manakala Fahim akan mengucup dahi isterinya.

Saat Fahim mengucup dahi Imani pada hari pertama mereka keluar bekerja, Imani merasakan suatu ketenangan dan kebahagiaan luar biasa meresap masuk ke dalam dirinya. Mungkin inilah dia nikmat kebahagiaan menjadi pasangan suami isteri, fikir Imani. Pada waktu malam, apabila mereka menikmati juadah makan malam bersama, ada kalanya Fahim begitu mesra menyuapkan nasi ke mulut Imani. Imani yang pada mulanya agak janggal, menurut sahaja perlakuan suaminya itu. Dan pada waktu tidur, kadangkala Imani tidur berpegangan tangan dengan Fahim. Atau Fahim akan menarik Imani tidur dalam rangkulannya saat Imani sudah tertidur lena. Namun Fahim tidak pernah menyentuh isterinya lebih daripada itu kerana dia tahu Imani belum bersedia. Dan dia tak akan sekali-kali memaksa isteri kesayangannya itu menuruti kemahuannya.

Di pejabat, kadangkala Imani membuka emailnya. Cuba untuk melihat kalau-kalau ada email yang dikirim oleh Adham. Hampir sebulan berlalu, dan Imani pasti Adham sudah bersiap-siap hendak pulang ke Malaysia. Namun tiada langsung email yang dihantar oleh Adham. Nampaknya Adham benar-benar berusaha untuk melupakan Imani. Walau bagaimanapun, hati kecil Imani masih berharap, walaupun dia tahu adalah mustahil untuk Adham menghubunginya semula selepas apa yang telah berlaku antara mereka berdua.

Ketika Imani sedang khusyuk menatap skrin komuternya, pada saat itu telefon bimbitnya berdering, menandakan ada panggilan masuk. Imani lalu melihat nama pemanggilnya. ‘Abang’. Tertera perkataan itu di atas skrin telefonnya.

Assalamualaikum, abang,’ Imani memberi salam kepada suaminya.

Waalaikumussalam sayang. Tengah sibuk ke?’ tanya Fahim.

Tak abang, tengah belek-belek dokumen je. Kenapa bang?’ tanya Imani lembut.

Imani tak payah masak ye malam ni. Abang terasa nak belanja Imani makan malam kat luar la hari ni,’ Imani terdengar nada ceria di sebalik suara suaminya itu.

Kalau macam tu oklah bang. Jumpa malam nanti ye,’ tutur Imani. Fahim lalu memberi salam kemudian talian dimatikan. Imani menyimpan telefon bimbitnya lalu menyelesaikan kerjanya yang tertangguh sedari tadi.

Pada malam itu, setelah selesai bersolat maghrib berjemaah, Fahim memandang isterinya yang masih lagi bertelekung.

Imani pakai lawa-lawa ye malam ni. Abang nak bawa Imani ke sebuah tempat 'special',’ kata Fahim sambil tersenyum. Imani yang kehairanan, sekadar mengangguk kepala.

Selesai bersolat maghrib, Fahim dan Imani meninggalkan rumah dan Fahim memandu, membawa Imani ke sebuah tempat yang diperkatakan. Berulang kali Imani bertanyakan kepada Fahim kemanakah suaminya itu ingin membawanya, namun Fahim hanya tersenyum lebar, tanpa memberi sebarang jawapan.

Akhirnya mereka berhenti di sebuah restoran mewah di tengah-tengah ibu kota. Imani yang pertama kali tiba di restoran seperti itu, tergamam sebaik sahaja dia dan Fahim berdiri di hadapannya. Fahim sekadar menjeling isterinya di sebelah, sebelum dia tiba-tiba menghulurkan tangan kanannya. Imani yang terkejut dengan perlakuan suaminya sekadar menyambut huluran tangan itu. Fahim memimpin tangan Imani lalu mereka berjalan beriringan memasuki restoran tersebut.

Masuk sahaja ke restoran tersebut, berkumandang lagu-lagu romantik yang membuai perasaan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Suasana lampu yang malap di dalam restoran juga membuatkan Imani terasa terbuai sendiri. Fahim membawa Imani ke sebuah meja yang sudah ditempah awal-awal, kemudian dia menarik kerusi Imani dan mempersilakan isterinya itu duduk. Kemudian dia mengambil sejambak bunga mawar yang indah dari kerusinya lalu diserahkan kepada Imani.

Abang.. untuk apa ni? Kenapa malam ni istimewa sangat?’ tanya Imani yang masih lagi terperanjat dengan kejutan yang dibuat oleh suaminya.

Imani lupa? Malam ni dah genap sebulan kita bergelar suami isteri,’ berseri-seri wajah Fahim ketika dia menerangkan sebab disebalik kejutan yang dilakukannya itu. Imani terdiam sendiri. Sedar tak sedar, sudah sebulan rupanya dia bergelar isteri kepada Fahim.

Lagipun kita bernikah pada hari jadi Imani kan? Abang tak sempat nak beri hadiah kat Imani haritu, sebab kita sibuk dengan persiapan perkahwinan. Jadi malam ni abang ada beli hadiah hari jadi Imani. Happy belated birthday sayang,’ lalu Fahim mengeluarkan sebuah kotak dari kocek seluarnya. Kemudian dia mengeluarkan seutas rantai bertatah berlian dan berloketkan hati, lalu disarungkan ke leher Imani yang bertudung. Imani tergamam tanpa kata. Sungguh dia sangat terkejut pada waktu itu.

Ha, kan cantik ni. Nanti kat rumah pakai kat leher ye, jangan pakai kat tudung,’ sempat Fahim bergurau, membuatkan Imani tergelak kecil.

Dan semoga hubungan kita akan berkekalan sampai ke syurga sayang, InsyaAllah,’ bisik Fahim perlahan ke telinga Imani lalu dia mencium pipi isterinya itu. Imani terkedu lagi untuk kali yang entah keberapa.

Sungguh pada waktu itu hati Imani berasa terharu yang amat sangat. Sejak zaman universiti lagi, Fahim sangat suka melakukan kejutan yang membuatkan hati wanitanya benar-benar tersentuh. Walaupun dia masih lagi belum menjadi isteri yang sempurna untuk Fahim, namun Fahim melayannya umpama seorang puteri. Serta merta air mata Imani mengalir sederas-derasnya.

Ya Allah, Kau telah mengurniakan seorang suami yang terbaik untuk aku. Kenapa aku masih buta Ya Allah?’ bisik hati kecil Imani sambil dia terus-terusan menangis. Tangisannya secara tiba-tiba itu telah menyebabkan kali ini giliran Fahim pula yang terperanjat.

Eh Imani. Kenapa menangis ni? Jangan menangis sayang,’ wajah Fahim segera bertukar risau lalu dia pergi kepada Imani dan melutut dihadapannya.

Maafkan abang kalau apa abang buat malam ni Imani tak suka,’ lembut sahaja tutur kata Fahim. Sayu sungguh dia melihat isteri kesayangannya menangis seperti itu. Lantas dia menyeka air mata Imani dengan jarinya. Imani memegang kedua belah tangan suaminya dengan erat, menyebabkan Fahim terpana seketika.

Selama sebulan kita kahwin, Imani belum jadi isteri yang cukup sempurna untuk abang. Ada lagi tanggungjawab sebagai isteri yang belum Imani tunaikan. Maafkan Imani abang kerana mensia-siakan cinta abang selama ini. Imani buta selama ni, maafkan Imani abang,’ lirih sahaja suara Imani memohon maaf kepada Fahim menyebabkan hati Fahim juga terasa sebak. Dia memeluk isterinya dengan erat dan mengucup dahi isterinya dengan lembut.

Jangan cakap macamtu sayang. Imani isteri abang yang terbaik, di dunia dan akhirat. Abang terima Imani seadanya,’ mendengarkan suara lembut suaminya memujuknya, semakin deras air mata Imani mengalir tanpa henti. Apabila tangisannya sudah reda, barulah Fahim melepaskan Imani dari pelukannya. Kemudian direnungnya wajah isterinya itu dengan lembut.

Jangan nangis lagi ye. Habis dah hilang comel,’ kata Fahim sambil ketawa kecil, lalu Imani tersenyum. Kemudian barulah mereka sama-sama menikmati juadah makan malam, dan mereka juga berbual panjang sehingga ke tengah malam.

Pada malam itu, ketika Fahim sedang enak dibuai mimpi, Imani merenung wajah suaminya itu, lama. Tangannya menjalar menyentuh setiap inci wajah suaminya itu dengan lembut, kemudian, dia membelai pula rambut suaminya. Pada saat itu, hatinya terasa gementar yang luar biasa. Rasa gementar yang dirasainya sama seperti saat dia melihat senyuman Adham suatu ketika dulu. Cuma kali ini, rasa gementar itu dirasainya sekali lagi apabila dia bersama dengan suaminya. Bersama dengan Fahim.

Ya Allah, apakah kali ini Kau mula membuka pintu hatiku untuk mencintai suamiku ini?’ Imani tertanya sendirian, sambil matanya tidak lepas memandang wajah suaminya. Kemudian perlahan- lahan dia merapatkan diri ke badan Fahim dan merangkul erat tubuh suaminya itu. Dan Imani dapat merasakan suaminya tersedar seketika lalu membalas pelukannya itu, sebelum kedua-duanya hanyut dalam lena.

***

Sejak malam istimewa itu, ada perasaan aneh mula menerjah hati Imani setiap kali dia menatap wajah suaminya itu. Apabila Fahim mengucup dahinya atau pipinya dengan lembut, Imani memejamkan matanya dan merasai kehangatan kucupan suaminya itu dengan debaran di hati. Di pejabat, apabila keseorangan, fikirannya tidak lagi tertumpu kepada Adham. Kali ini Fahim pula yang sering dirindui Imani. Diletakkan gambar kahwin mereka berdua dia atas mejanya dan jika rasa rindu meyerang dirinya, dia akan merenung gambar suaminya itu. Pernah sekali Imani begitu merindui suara suaminya. Ingin sahaja dia menelefon Fahim tetapi dia malu. Beberapa saat kemudian Fahim terus menelefonnya, seolah-olah mengerti perasaan Imani pada saat itu, lalu membuatkan Imani tersenyum gembira dan bersemangat sepanjang hari.

Terima kasih ya Allah, kerana akhirnya aku merasai erti bahagia setelah Kau kurniakan rasa cinta dalam hatiku untuk suamiku sendiri,’ luah Imani perlahan. Kemudian dia tersenyum sendirian.

Pada suatu malam, disaat Imani dan Fahim sedang bersantai menonton televisyen bersama di ruang tamu, tiba-tiba Imani menoleh memandang suaminya itu.

Abang, Imani tiba-tiba rasa rindu kat ibu dengan ayah. Kalau kita balik kampung sekejap je hujung minggu ni, boleh?’ Imani meminta izin Fahim untuk pulang ke kampung menjenguk kedua ibu bapanya.

Boleh je sayang. Sabtu pagi ni kita balik kampung ye,’ Fahim berkata sambil tersenyum. Imani mengucapkan terima kasih lalu dia melentokkan kepala ke bahu suaminya. Fahim memeluk erat bahu isterinya, sebelum kedua-duanya menyambung aktiviti menonton televisyen sebentar tadi.

Pada hari sabtu seperti yang dijanjikan, Fahim membawa Imani pulang ke kampung halamannya. Imani tersenyum gembira setelah melihat wajah ibu dan ayahnya, setelah sebulan lebih wajah mereka tidak dilihatnya. Ibu dan ayah Imani menyambut kepulangan anak gadis serta menantu mereka dengan gembira.

Saat Fahim masuk ke dalam bilik, membawa beg pakaiannya dan Imani, dia terlihat akan barang-barang di atas meja Imani. Ada teddy bear, gelang tangan dan kotak muzik pemberiannya ketika zaman universiti dulu, masih terletak kemas di situ. Fahim segera mengukir senyuman. Tidak menyangka Imani masih menyimpan hadiah pemberiannya dengan elok.

Abang, Imani keluar pergi kedai dengan ibu kejap. Abang berehat dulu ye,’ Imani tiba-tiba masuk ke dalam biliknya, menyebabkan Fahim yang sedang membelek-belek hadiah pemberiannya sendiri kepada Imani terkejut seketika. Imani yang melihat suaminya terkejut lantas ketawa kecil.

Ok sayang, jaga diri,’ kata Fahim ringkas. Imani tersenyum lalu keluar bilik. Saat Fahim sedang asyik membelek-belek barang-barang isterinya dalam bilik itu, dia terlihat beg tangan Imani berada di atas lantai. Kemudian dia teringat dia membawa sekali beg tangan Imani ketika membawa masuk beg pakaian ke dalam bilik tadi.

Lah Imani ni, pergi kedai tak bawak handbag. Mesti dompet pun tertinggal ni,’ omel Fahim sendirian lalu dia meletakkan beg tangan Imani ke atas meja. Dia membuka beg tangan Imani, lalu mengeluarkan dompet Imani daripada beg itu.

Ha, kan betul. Imani.. Imani,’ Fahim tertawa sendirian. Kemudian dia terasa ingin membelek-belek barang kepunyaan isterinya itu. Selama sebulan mereka berkahwin, masih ada barang-barang peribadi milik Imani yang masih belum di’explore’ oleh dirinya.

Fahim lantas membuka dompet Imani. Dibelek-beleknya kad pengenalan dan lesen memandu isterinya itu. Fahim hampir tertawa melihat wajah Imani di kad pengenalan lama itu. Lain benar dengan rupanya sekarang.

Mata Fahmi akhirnya tertumpu kearah sekeping kertas yang terlipat rapi di celah-celah ruang kad dalam dompet isterinya. Dengan rasa ingin tahu, Fahim terus sahaja mengeluarkan kertas itu, yang sudah agak komot. Fahim membuka lipatan kertas itu dengan perlahan-lahan.

Kertas itu rupa-rupanya sekeping gambar yang telah diprint daripada kamera telefon bimbit Imani suatu ketika dulu. Ada Adham, dirinya, Musliha dan Sofia dalam gambar itu. Serta merta Fahim teringat, itu gambar yang diambil Imani ketika mereka tamat sesi perbincangan bersama pada tahun pertama pembelajaran mereka. Fahim tersenyum sendirian melihat gambar lama penuh nostalgia itu.

Saat dia cuba melipat kembali gambar itu untuk disimpan kembali dalam dompet isterinya, Fahim tersedar rupa-rupanya disebalik gambar itu terdapat tulisan tangan milik Imani. Disebabkan keadaan kertas itu yang sudah renyuk, Fahim tidak sedar wujudnya tulisan itu ketika kali pertama dia melihatnya.

Muhammad Adham bin Abdul Rahim.
Sentiasa di hati. Dulu, kini, dan selamanya’

Berderau darah Fahim sebaik sahaja dia membaca tulisan yang ditulis oleh isterinya itu di belakang gambar tersebut. Matanya membulat serta merta. Berulang-ulang kali dibacanya ayat itu dengan rasa tidak percaya. Rupa-rupanya selama ini Imani mencintai Adham dalam diam? Sejak zaman universiti lagi?

Dengan rasa ingin tahu yang semakin meluap-luap, Fahim membuka almari pakaian isterinya. Terlalu banyak rahsia yang disimpan Imani daripada pengetahuannya selama ini. Satu persatu pakaian Imani di dalam almari diselak. Mata Fahim meliar mencari-cari sesuatu yang luar biasa disebalik pakaian-pakaian itu. Laci-laci almari serta meja turut dibuka oleh Fahim. Namun benda yang cuba dicarinya tidak ditemui.

Kemudian Fahim terlihat bahagian atas almari yang kosong di dalam bilik itu. Dia merasakan ada sesuatu yang diletakkan di atas almari itu, sebab itu ia terbiar kosong. Fahim lantas mengambil kerusi dan mula memanjat. Dan akhirnya, seperti yang dijangka, dia terlihat sehelai kertas dan sebuah kotak kecil di situ. Dengan bersusah payah, Fahim membawa kedua barang tersebut turun dari almari. Kemudian dia duduk di birai katil, membuka helaian kertas itu, menepuk-nepuk habuk yang meliputinya, lalu membaca setiap tulisan di atas kertas itu.

Selesai sahaja membaca, Fahim meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Setelah sebulan lebih berkahwin, baru kini dia menyedari bahawa dirinya telah menjadi batu penghalang antara cinta Adham dan Imani yang sudah terpendam sekian lama. Fahim terasa bersalah kerana disebabkan dirinya, Adham tidak dapat meluahkan perasaannya kepada Imani ketika di universiti dulu. Kenapa dari dulu dia tidak pernah sedar?

Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Aku telah menghalang cinta dua orang hambaMu yang begitu menyayangi satu sama lain, tanpa aku sedari. Ampunkan aku Ya Allah,’ Fahim berkata lirih sambil matanya digenangi air. Hiba membaca surat milik sahabatnya itu. Fahim menjeling tarikh pada surat itu. Matanya luas terbuka. Tarikh pada surat itu adalah pada malam pernikahannya dengan Imani.

Serta merta Fahim terkenang kembali wajah Imani pada hari perkahwinan mereka. Dia melihat mata bengkak Imani yang jelas kelihatan walaupun cuba dilitupi alat solek. Wajah sugul Imani disaat mereka sedang duduk di atas pelamin. Wajah Imani yang tersenyum paksa saat mereka berdua dikerumuni beratus orang hadirin. Semua itu jelas bermain di minda Fahim. Cuma baru kini dia tahu apa sebabnya di sebalik semua itu.

Patutlah sehingga kini Imani belum bersedia untuk aku menyentuhnya. Rupa-rupanya hatinya milik orang lain,’ Fahim bermonolog sendirian sambil tangannya membuka kotak kecil itu. Seutas rantai putih diambil dari dalam kotak itu. Rantai yang tidak dipakai oleh Imani setelah Imani bernikah dengannya. Rantai yang tersimpan rapi di dalam kotak yang berhabuk itu semenjak sebulan yang lalu.

Pada malam itu, ketika makan malam, Imani tersenyum gembira sambil menikmati juadah yang dimasak oleh ibunya. Fahim yang ketika itu bercampur baur perasaannya antara sedih, bersalah, kecewa dan marah, cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan perasaannya itu.

Dah sebulan lebih kahwin ni, tak ada tanda-tanda nak ada ‘isi’ ke Imani?’ tiba-tiba sahaja ibu Imani berbicara disaat mereka seisi keluarga sedang khusyuk menikmati juadah. Imani yang sedang mengunyah nasi terus tersedak. Fahim yang duduk di sebelah Imani segera mengurut-ngurut belakang isterinya dan menghulurkan segelas air kepadanya.

Belum ada rezeki lagi mak. InsyaAllah tak lama lagi kalau ada rezeki, adalah,’ Fahim tersenyum lemah memandang mentuanya sambil memandang wajah isteri di sebelah dengan rasa risau. Ibu dan ayah Imani sekadar memerhati gelagat anak dan menantunya itu sambil tersenyum.

***

Keesokan harinya, setelah bersalam dengan ibu dan ayahnya, Imani menyusuli suaminya masuk ke dalam kereta. Setelah melambai kedua-duanya, kereta Imani dan Fahim bergerak menyusuri jalan raya, menuju ke ibu kota.

Em, abang, boleh Imani tanya sikit?’ Suara Imani tiba-tiba memecah kesunyian di dalam kereta itu sedari tadi.

Apa dia Imani? Tanyalah,’ jawab Fahim sambil matanya tidak lekang memandang hadapan.

Kenapa dari semalam, abang banyak diam?’ Imani memberanikan diri untuk bertanyakan soalan itu kepada suaminya. Sebenarnya, sejak semalam lagi, Imani perasan akan perubahan Fahim yang begitu mendadak setelah dia pulang dari kedai bersama ibunya. Dia melihat Fahim di bilik berwajah sugul dan sedih. Tanya sepatah dijawab sepatah. Seolah-olah perasaan yang pernah dirasainya dulu kini telah berpindah kepada suaminya.

Tak ada apa Imani. Abang cuma tiba-tiba rindukan sahabat lama abang. Adham,’ terang Fahim dengan wajah yang cuba disembunyi kesedihannya. Imani yang tiba-tiba mendengar suaminya menyebut nama Adham, terasa jantungnya bagai terhenti.

Adham? Tapi kenapa abang? Tiba-tiba...’ Imani tidak dapat menyambung ayatnya. Masih terkejut dengan kata-kata yang terpacul dari mulut Fahim.

Tak tahu kenapa, tiba-tiba semalam abang sangat rindukan Adham. Dah dua tahun abang terpisah dengan sahabat baik abang tu. Abang teringin sangat nak jumpa Adham sebelum abang tutup mata,’ tutur Fahim lagi. Ayat terakhir Fahim menyebabkan Imani membulatkan mata.

Abang???’ Imani berkata dengan kuatnya. Dia seakan tidak percaya dengan ayat yang dituturkan oleh suaminya sebentar tadi.

Tolong Imani, tolong temukan abang dengan Adham satu hari nanti. Abang perlu minta maaf pada dia. Pada Imani juga,’ kata Fahim dengan perlahan namun jelas didengari oleh Imani. Imani segera memegang lengan suaminya.

Abang! Kenapa.....’ pada saat itulah, belum sempat Imani menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran suara hon yang sangat kuat datang dari hadapan.

Imani dan Fahim segera memandang ke hadapan. Sebuah lori yang entah dari mana datangnya, begitu laju, berada betul-betul di hadapan mereka. Jantung Imani dan Fahim seakan terhenti.

Ya Allah....’ kata Imani perlahan sebelum dia memejamkan matanya. Dan serentak dengan itu, suatu dentuman yang maha hebat kedengaran di tengah-tengah jalan raya itu.

***

Imani tersedar dari pengsannya. Bangkit sahaja, dia menyedari dirinya sudah berada di hospital. Dia memegang wajahnya yang sudah calar balar dan kering lukanya. Tangan kirinya yang cuba digerakkan terasa sakit sekali. Imani menjeling tangan kirinya yang sudah bersimen. Dan di tangannya juga sudah tercucuk jarum yang mengalirkan darah ke dalam badannya.

Doktor!! Nurse!!’’ laung Imani sebaik sahaja dia menyedari kelibat suaminya tiada di hadapan matanya. Jururawat yang berada berhampiran segera berlari ke arahnya. Ada juga diantara jururawat yang segera berlari mendapatkan doktor.

Suami saya! Suami saya mana??!!’ tanya Imani kepada jururawat tersebut. Jururawat tersebut meminta Imani bersabar. Serentak dengan itu seorang doktor berjalan menuju ke katil Imani.

Doktor! Suami saya! Suami saya macam mana?’ Imani mengulang pertanyaannya kepada doktor yang berada di hadapannya. Doktor tersebut memegang bahu Imani dengan lembut.

Bersabarlah puan. Suami puan berada di ICU. Kami sedaya upaya cuba menyelamatkannya,’ kata doktor lelaki itu dengan lembut. Saat itu Imani terasa dirinya bagai dipanah halilintar. Suaminya rupa-rupanya sedang bertarung nyawa di ICU. Air mata Imani jatuh berjurai-jurai.

InsyaAllah, kalau keadaan suami puan stabil, kami akan bawa puan untuk berjumpa dengannya. Buat masa ni, saya harap puan boleh bersabar. Berdoalah banyak-banyak,’ sambung doktor itu lagi, cuba menenangkan hati Imani. Imani yang masih menangis, tak henti henti bibirnya berzikir dan berdoa memohon pertolongan dari Allah, semoga suaminya selamat.

Beberapa jam kemudian, Imani didatangi oleh ibu dan bapanya yang hampir menangis melihatkan keadaan Imani. Ibu Imani hampir-hampir sahaja pengsan mendengarkan menantunya sedang bertarung nyawa di ICU sejak tadi. Ketika Imani sedang menceritakan kembali detik-detik kemalangan yang hampir meragut nyawanya tadi, seorang doktor tiba-tiba datang kepadanya.

Puan Imani, suami puan dalam keadaan stabil. Tapi dia masih belum sedar, kami tak boleh jamin keadaannya pada masa akan datang. Puan boleh melawat dia sekarang, tapi hanya seorang satu masa,’ kata doktor Imani. Imani mengucapkan Alhamdulillah tanpa henti. Perlahan-lahan Imani bangkit dari katilnya, lalu menuju ke wad Fahim.

Imani menolak pintu wad dengan perlahan menggunakan sebelah tangannya. Dia melihat Fahim berbaring di atas katil. Berselirat wayar-wayar daripada mesin hospital disambungkan kepada suaminya. Imani melihat leher dan dahi Fahim berbalut. Alat bantuan pernafasan juga disambungkan kepada suaminya. Air mata Imani tumpah lagi. Hiba sungguh dia melihat keadaan suaminya seperti itu. Dia duduk di sisi suaminya, tangannya memegang tangan Fahim erat.

Abang... abang bangunlah,’ kata Imani teresak-esak. Fahim masih belum terjaga. Imani melihat dada suaminya turun naik. Imani duduk di sebuah kerusi di sisi katil Fahim, lalu mulutnya laju membaca surah-surah dan zikir yang dihafalnya. Imani tidak putus-putus berdoa dalam hati supaya suaminya akan segera sedar.

Imani.....’ Imani tiba-tiba terdengar suara Fahim memanggil lemah namanya. Imani segera bangkit. Dia melihat Fahim membuka separa matanya. Imani segera menyeka air mata di pipinya.

Abang.. abang.. Imani ada kat sini,’ kata Imani sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Fahim. Cuba untuk mendengar dengan jelas tutur kata Fahim yang perlahan itu.

Imani... ok?’ suara Fahim perlahan sahaja namun dapat didengari oleh Imani. Imani mengangguk laju sambil tersenyum. Tangannya erat menggenggam tangan suaminya. Di sebalik topeng oksigen itu, Imani dapat melihat suaminya juga tersenyum sepertinya.

Imani... abang.. nak.. jumpa.. Adham...’ dengan bersusah payah Fahim menuturkan sepatah ayat itu. Imani kembali menangis mendengarkan permintaan suaminya itu. Sungguh, pada saat itu Fahim benar-benar hendak bertemu dengan Adham. Sehinggakan pada waktu begini pun, Fahim masih lagi menyatakan hajatnya untuk bertemu dengan Adham.

Imani meletakkan tangan Fahim ke wajahnya sambil mengangguk laju.

Baik abang.. Imani akan usahakan.. Imani akan cuba minta Adham jumpa abang hari ni juga,’ kata Imani dengan wajahnya yang basah.

Abang tunggu sekejap ye,’ kata Imani lalu dia segera berlalu meninggalkan suaminya. Pada saat itu, difikirannya hanya ada Adham. Dia perlu menghubungi Adham pada saat itu juga, tanpa perlu membuang banyak masa.

***

Assalamualaikum...’ Imani terdengar suara seorang lelaki di luar pintu memberi salam. Serentak dengan itu, pintu ditolak. Dan disitu, berdirinya Adham, lelaki yang sudah terlalu lama dirindui Imani suatu ketika dulu.

Imani terkesima melihat Adham berdiri di hadapannya, buat pertama kali setelah dua tahun mereka terpisah. Imani segera bangkit dari tempat duduknya. Perlahan-lahan Adham melangkah menghampiri Imani.

Awak okey Imani? Saya bersimpati terhadap apa yang berlaku terhadap awak dan juga Fahim,’ kata Adham dengan wajah sedih. Dia tidak menyangka, tragedi ngeri seperti itu akan menimpa dua orang sahabat baiknya sendiri.

Alhamdulillah, saya okey. Cuma Fahim...’ Imani tidak dapat menghabiskan ayatnya lalu dia menoleh kearah Fahim yang terbaring lemah di atas katil.

Adham.. kau ke tu?’ Fahim bersuara lemah. Imani dan Adham segera menuju ke katil Fahim. Fahim sudahpun membuka matanya.

Aku ada kat sini Fahim... maafkan aku kerana terlalu lama menyepi dari kau,’ Adham berkata sambil memegang tangan sahabatnya itu dengan erat. Air mata mula bergenang di matanya. Wajahnya dirapatkan ke wajah Fahim.

Aku... yang perlu minta maaf.... Adham... aku.. rampas.. Imani dari kau... maafkan aku... aku.. tak sengaja...’ Fahim berkata dengan terputus-putus namun jelas didengari oleh Adham dan juga Imani.

Jantung Adham dan Imani bagaikan berhenti berdegup mendengar kata-kata Fahim. Rahsia yang selama ini tersimpan rapi daripada Fahim, akhirnya terbongkar jua.

Fahim... kau.. kau tak pernah rampas Imani dari aku... memang sudah ditakdirkan Allah, aku tiada jodoh dengan Imani,’ air mata yang bergenang di mata Adham akhirnya tumpah. Sedih mengenangkan sahabatnya itu yang masih gigih memohon maaf walaupun keadaan dirinya sebegitu rupa.

Abang...abang cakap apa ni? Abang tak pernah rampas Imani dari sesiapa. Imani milik abang seorang,’ Imani bercakap sambil menangis teresak-esak.  Imani menggenggam erat tangan suaminya, seakan tidak mahu lepas. Betapa dia cuba meyakinkan suaminya itu, bahawa selama ini dia bukanlah milik sesiapa, termasuklah Adham.

Kalau.. abang tahu.. Imani cintakan Adham... dari dulu... dan Adham pun.. cintakan Imani.. abang tak akan.. masuk campur... maafkan abang,’ Fahim berkata perlahan sambil memandang sayu wajah isterinya yang masih belum berhenti menangis. Adham yang turut mendengar, memandang kedua pasangan itu dengan rasa hiba.

Itu dulu, abang.. dulu.. sekarang Imani cintakan abang. Abang suami Imani dunia akhirat,’ Imani memegang wajah suaminya dengan lembut. Dia melihat air mata Fahim juga mengalir deras.

Adham....’ kata Fahim lalu dia mengangkat sebelah tangannya. Adham segera memegang tangan Adham, lalu merapatkan telinganya ke wajah Fahim.

Aku tahu... umur aku.. tak panjang... kalau aku tak ada... boleh kau jaga.. Imani untuk aku?’ tanya Fahim dengan nafas yang turun naik. Adham tersentak lalu memandang mata sahabatnya yang digenangi air itu. Penuh dengan harapan. Hati Adham remuk mendengar permintaan sahabatnya itu. Adham dapat merasakan Fahim menggenggam tangannya dengan kuat.

Abang.. jangan cakap lagi... abang.. berehatlah,’ Imani berkata dalam sedu sedan. Tangan Imani juga dipegang erat oleh Fahim. Fahim cuba membuka mulut untuk berkata sesuatu kepada Imani. Dengan pantas, Imani merapatkan wajahnya kepada wajah suaminya, memandang tepat ke dalam anak mata Fahim.

Imani... tolong terima Adham... demi abang...’ kata Fahim menyebabkan air mata Imani tumpah tanpa henti mendengarkan permintaan terakhir suaminya. Tanpa banyak berfikir, Imani segera menganggukkan kepalanya, sambil memegang pipi suaminya. Air mata suaminya membasahi tangan Imani.

Pada saat itu, dada Fahim mula turun naik dengan pantas. Adham yang berada disisi Fahim, segera mengajar Fahim untuk mengucap kalimah syahadah. Imani yang sungguh panik, cuba berlari untuk mendapatkan doktor, namun tangannya ditarik kembali oleh Fahim.

Imani.. dah... tak sempat...’ tutur Fahim perlahan. Lalu dia menggapai tangan Imani. Imani memegang tangan Fahim sekali lagi, manakala sebelah lagi tangan Fahim dipegang oleh Adham. Adham masih tidak berhenti mengajar Fahim mengucap kalimah syahadah.

Allah...’ kata Fahim lemah sebelum dia akhirnya memejamkan matanya buat selama-lamanya. Setitis air matanya jatuh mengalir membasahi pipi. Mesin di sebelah katil Fahim berbunyi bising, menandakan denyutan jantung Fahim sudahpun terhenti. Pada malam itu, Fahim pergi diiringi oleh kedua orang insan tersayang, yang merupakan isteri dan sahabatnya. Tangannya masih digenggam erat oleh Imani dan Adham.

Imani menangis lagi, manakala Adham menundukkan kepalanya. Doktor yang baru sahaja tiba, segera memeriksa nadi Fahim. Cuba digunakan kuasa elektrik untuk menghidupkan kembali denyutan jantung Fahim, namun tidak berjaya. Selimut putih yang menutupi badan Fahim akhirnya dinaikkan menutupi seluruh tubuhnya. Dan serentak dengan itu ahli keluarga Imani dan ahli keluarga Fahim masuk kedalam bilik itu, menatap wajah yang terbujur kaku itu, untuk kali terakhir.

***

Sodaqallahula’zim.....’ Imani menutup Yassin yang berada ditangannya lalu dijunjung. Adham mula membacakan doa, dan diaminkan oleh Imani. Selesai menyiram air bunga mawar dan membersihkan pusara Fahim, Imani dan Adham bangkit lalu bergerak beriringan menuju ke kereta.

Sudah lima bulan berlalu, sejak pemergian Fahim di hospital akibat kemalangan ngeri yang berlaku dulu. Selepas pemergian Fahim, begitulah rutin Imani dan Adham pada tiap-tiap minggu. Sekali dalam seminggu, mereka akan melawat pusara Fahim dan menyedekahkan surah Yassin untuknya.

Demi rasa kasih Imani terhadap arwah suaminya dan rasa kasih Adham terhadap arwah sahabatnya, mereka bersetuju untuk disatukan mengikut amanat terakhir arwah Fahim. Pada bulan lepas, Imani dan Adham akhirnya disatukan dalam sebuah majlis kecil-kecilan. Selepas menanti selama lebih enam tahun, akhirnya Allah mentakdirkan Adham untuk menjadi jodoh Imani, walaupun Imani terpaksa kehilangan Fahim buat selama-lamanya.

Siapa sangka kan bang, kita tetap diciptakan antara satu sama lain, cuma masa sahaja yang melambatkan penyatuan kita,’ kata Imani perlahan sambil berdiri di balkoni rumahnya, menghirup angin malam.

Allah tu Maha Adil dan Maha Pengasih Imani. Dia tahu abang dan Fahim sama-sama menyayangi Imani, jadi Dia menciptakan Imani sebagai jodoh untuk kami berdua. Walaupun salah seorangnya terpaksa pergi dulu,’ Adham berkata dengan suara bergetar. Dia kadangkala teringat akan sahabatnya itu, dan apabila teringat hatinya serta merta terasa sebak.

Imani tak pernah berhenti berdoa, supaya arwah Fahim akan sentiasa ditempatkan dikalangan orang-orang beriman,’ sambung Imani lagi. Adham sudahpun memeluk erat pinggang isterinya itu.

Abang pun Imani. Arwah Fahim tak ada gantinya,’ kata Adham perlahan. Lalu Imani melentokkan kepalanya kebahu Adham, sebelum kedua-duanya merenung pemandangan malam yang indah itu bersama-sama.

Pada saat itu, Imani teringat akan mimpi yang diperolehinya, pada malam dia mendirikan solat istikharah. Kini dia mengerti maksud mimpi tersebut. Ternyata Allah itu Maha Mengetahui. Dia dciptakan untuk menjadi pelengkap tulang rusuk untuk dua orang lelaki yang terbaik pernah ditemui dalam hidupnya. Imani hanya mampu redha di atas takdir yang telah Allah tetapkan untuknya itu.

Imani mengeluarkan gambar yang terlalu lama disimpan di dalam dompetnya itu. Gambar Adham, Fahim, Musliha dan Sofia yang renyuk sedikit. Lantas Imani mengambil pen, lalu menconteng sesuatu di sebalik gambar itu. Dibawah tulisan lama mengenai Adham yang pernah ditulisnya dulu.

Ahmad Fahim bin Fadzil.
Sentiasa di hati, jiwa, dan minda. Dulu, kini, dan selamanya'

Imani mencium gambar itu lalu menyimpannya kembali kemas-kemas di dalam dompetnya. Dan bibirnya tidak pernah berhenti mengucapkan zikir sebagai hadiah untuk Fahim di alam sana.


***
TAMAT

2 comments:

Anonymous said...

Sesungguhnya Allah mengurniakan akal untuk umat-Nya dan kakak nadzwa telah menggunakannya dengan sempurna .. Tahniah ! Cerpen ini sgt baik ..

Anonymous said...

Sedihnya...fahim meninggal...:(
# ayu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...