Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt..
Semalam, ketika diri ini sedang membelek2 nota untuk dua test jam 3 petang, tiba2 telefon bimbit berdering. Panggilan diterima daripada rumah di Klang.
‘Assalamualaikum. Along, atuk dah tak ada. Kejap lagi jenazah atuk nak bawak balik kampung,’ ibu bertutur singkat dengan suara yang sebak dan penuh hiba.
Mata ini terbeliak seketika. Diri ini tergamam. Atuk dah tak ada?
Baru sabtu lepas berbual dengan atuk. Baru sabtu lepas papah atuk berjalan. Baru ahad lepas suapkan atuk air. Baru ahad lepas urut2 tangan atuk.
Sekarang atuk dah tak ada?
‘Innalillah.. Okeh bu. Habis test org balik kampung terus naik komuter. Maybe sampai malam sikit,’ lalu talian dimatikan. Diri ini termenung lagi. Laptop yang ketika itu terbuka segera dihubung dengan internet. Berita bahawa atuk sudah tiada dikhabarkan di Facebook. Mudah2an ramai kawan2 yang sudi menyedekahkan Alfatihah untuk arwah atuk.
Nota2 kembali dibelek. Dengan sangkaan diri ini kuat untuk menerima berita itu. Rupa2nya andaian itu salah. Airmata ini tiba2 laju mengalir. Laju hingga jatuh atas nota. Hidung mula basah. Lalu diri ini segera masuk ke bilik air. Tak dapat menahan diri daripada menangis tersedu-sedan. Terkilan kerana tidak bersalam dengan atuk ketika berjumpa kali terakhir pada ahad lepas sebab atuk tidur.
Test pada jam 3 petang tak dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Jiwa masih tak tenteram. Selesai test jam 4 petang, diri ini laju mencapai beg lalu keluar dari dewan kuliah. Majlis harijadi empat orang klasmate yg diadakan oleh seisi kelas selepas test tak dapat disertai. Kaki ini melangkah menuju ke bustop untuk menaiki bas ke Shah Alam.
Akhirnya sampai di kampung pada jam 10+ malam. Entah kenapa kali ini terlalu lama masa diambil untuk pulang. Bas rapid tersangkut dalam jem hampir 2 jam lebih di KL. 2 komuter untuk ke Batang Kali lewat hampir 1 jam. Mujur selamat tiba. Masuk sahaja rumah atuk, selesai bersalaman dengan para tetamu, diri ini menuju ke katil atuk di tengah2 ruang tamu.
Wajah kaku atuk ditatap. Mata dan mulut atuk separa terbuka. Tapi wajah atuk tenang. Sangat tenang. Berbeza semasa atuk masih hidup. Muka sentiasa berkerut menahan kesakitan akibat penyakit kanser yang dihadapi. Diri ini lalu berjumpa ibu dan adik2 yang menghadap arwah atuk semasa beliau pergi. Alhamdulillah, menurut mereka, atuk pergi dengan mudah, tanpa sebarang kesulitan. Malah pergi dikelilingi anak dan cucu2. Syukur alhamdulillah Ya Allah.
Bacaan Yaasin disedekahkan buat arwah atuk. Diulang2 sehingga jam 4 pagi. Jam 4.30 pagi barulah diri ini tidur. Dan pada pagi ini diri ini melihat sendiri bagaimana atuk dimandikan dan dikafankan oleh saudara2 lelaki. Dan setelah dikafankan, semua anak serta cucu diberi peluang untuk mencium wajah atuk buat kali terakhir sebelum wajah ditutup dengan kain kapan. Inilah saat yang paling menghibakan. Satu persatu anak dan cucu atuk melutut dan mencium wajah atuk. Bila tiba giliran diri ini, maka diri ini melutut dan mencium dahi atuk.
Sejuk. Kemudian pipi kiri dan kanan atuk dicium lagi. Sejuk juga.
Bangun sahaja, mata ini laju menakung air mata. Atuk yang dulu badannya sentiasa hangat apabila diurut dan dipapah, kini sejuk macam air batu.
Sambil menunggu giliran cucu2 yang lain, diri ini duduk sendirian mengenang kembali memori2 yang disimpan bersama atuk sejak kecil.
Bagaimana atuk gembira membawa diri ini yang masih kecil mengelilingi kampung menaiki motor.
Bagaimana atuk seronok apabila melihat diri ini bersungguh2 makan buah pulasan yang dikutipnya dari kebun.
Bagaimana atuk ceria melihat diri ini menjerit riang apabila mendapat RM10 pada hari raya tiap2 tahun.
Bagaimana atuk tersenyum apabila mendengar diri ini mendapat keputusan cemerlang ketika peperiksaan zaman sekolah.
Bagaimana atuk bersemangat meluangkan masa bercerita tentang pengalamannya semasa pemerintahan tentera jepun.
Bagaimana atuk sudi makan dan memuji masakan yang dimasak oleh cucunya ini yang tidaklah seberapa apabila ibu tak memasak kerana ada urusan.
Bagaimana atuk berusaha sendiri agar tidak menyusahkan diri ini apabila diri ini bermalam di hospital untuk menjaga atuk.
Bagaimana atuk mengerut muka menahan sakit apabila diri ini menyapukan ubat di mulutnya atau ketika mengurut2 badannya.
Dan bagaimana atuk berzikir setiap masa mengenangkan ajalnya hampir tiba apabila diri ini menemani atuk tidur di biliknya menjelang saat2 akhir hayatnya...
Air mata ini mengalir lagi. Lebih deras. Lantas diseka dengan lengan jubah. Tak baik meratapi pemergian orang yang telah tiada.
Setelah disembahyangkan di masjid, jenazah atuk dibawa ke tanah perkuburan. Hadir ke tanah kubur antara yang terawal, diri ini laju mengambil tempat betul2 di hadapan lubang kubur. Melihat sendiri jenazah atuk diturunkan. Kemudian diletak di dalam liang lahad. Kain pengikat kapan dibuka. Tanah2 dialas dikepala dijadikan bantal. Papan lahad ditutup. Kemudian lubang dikambus dan diletakkan kayu penanda.
Selesai dikebumi, imam masjid memberi tazkirah. Selesai membaca doa dan tahlil ringkas, jemaah mula bersurai. Ibu, Ba, Ana, Aja, Syahmi, Redha dan diri ini tinggal dulu di kubur atuk. Memandangkan keluarga ini yang menjaga atuk sehingga penghujung hayatnya, dan keluarga ini yang berada bersama atuk semasa atuk menghembuskan nafas terakhirnya, maka keluarga inilah yang paling terkesan dengan pemergian atuk. Selesai menyiram air mawar dan menabur bunga di atas kubur atuk, barulah kaki ini melangkah pulang. Selesai 8 langkah, diri ini menoleh kebelakang memandang kubur arwah atuk yang terletak bersebelahan kubur wan. Diri ini tahu, pada waktu ini, malaikat Mungkar dan Nakir sudahpun bertemu dengan atuk.
Semoga atuk dapat menjawab soalan2 Mungkar dan Nakir dengan mudah. Semoga kubur atuk diperluaskan, dihamparkan dengan permaidani dari syurga, dan dilimpahi dengan wangian harum. Semoga roh atuk ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. Bersemadilah dengan tenang di sana, wahai atukku.
‘Sesungguhnya kubur itu sebahagian daripada taman2 syurga, atau sebahagian daripada lembah2 neraka,’ – Ustaz Amir, imam Masjid As Sajidin, Kampung Sentosa Batang Kali.
*Gambar kenangan bersama arwah atuk semasa diri ini berumur 4 tahun*
Sekian post kali ini. Moga bertemu di lain waktu. Assalamualaikum wbt.
p/s : minta disedekahkan Al Fatihah buat arwah atuk, Allahyarham Haji Jamaluddin bin Abdullah.
2 comments:
takziah buat keluarga wawa...smoga wawa tabah
terima kasih banyak syu.. insyaAllah aku akan cuba tabah..
Post a Comment